Tuesday, 30, April, 2024
Utama Nasional MPC bantu 3 negeri di utara bersedia lakukan tranformasi digital pasca COVID-19

MPC bantu 3 negeri di utara bersedia lakukan tranformasi digital pasca COVID-19

oleh Wartawan Kedah Gazette

PULAU PINANG – Tiga buah negeri di utara Semenanjung bersedia melakukan tranformasi digital di agensi dan jabatan kerajaan selaras dengan perubahan dalam normal baharu pada pasca COVID-19 dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Perkara tersebut diketengahkan oleh ketiga-tiga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di negeri tersebut iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk’ Abdul Razak Jaafar, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Yusof.

Pada sesi yang turut disertai Ketua Pengarah MPC, Dato’ Abdul Latif Abu Seman sebagai moderator, perbincangan tersebut menjurus kepada topik bertajuk ‘Cabaran Kepimpinan Norma Baru Dalam Peningkatan Produktiviti’ itu yang mana semua ahli panel turut memperhalusi kerjasama silang kerajaan dan agensi bagi meningkatkan produktiviti kerajaan negeri.

Mereka menyatakan demikian ketika menjadi panel jemputan pada program Sembang Produktif Wilayah Utara secara online menerusi Webinar anjuran MPC Wilayah Utara semalam.

Di samping itu, MPC turut merancang kerjasama bersama kerajaan negeri secara lebih strategik dalam usaha meningkatkan penggunaan teknologi dalam transformasi kerajaan digital pasca COVID-19.

Pada sesi itu, Azman memberitahu, kerajaan negeri Perlis sedang menyiapkan Pelan Digital Perlis 2021 hingga 2025 bagi menggalakkan tranformasi digital dalam kalangan sektor kerajaan, swasta dan rakyat sebagai persediaan normal baharu pasca COVID-19.

Menurutnya, jawatankuasa pelan tersebut akan ditubuhkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Antara sasaran dan tumpuan kerajaan dalam pelan itu ialah sejauh mana persediaan perkhidmatan online di negeri ini termasuk di luar bandar.

“Sehubungan itu, satu modul khusus bagi kawasan luar bandar diperkenalkan bagi menggalakkan penggunaan online,” katanya.

Sementara itu, Ammar berkata, kerajaan negeri Kedah akan memberi penerangan kepada rakyat di negeri itu mengenai penggunaan digital untuk berurusan dengan kerajaan.

Katanya, semua urusan permohonan di jabatan kerajaan di negeri itu selepas ini akan dilakukan secara online sepenuhnya.

“Proses sebarang permohonan di jabatan kerajaan perlu dilakukan secara online sahaja dan setiap permohonan itu akan diproses dalam satu hari sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak Jaafar berkata, kerajaan negeri Pulau Pnang pula sedang menyiapkan garis panduan konsep bekerja dari rumah dalam kalangan pegawai angesi serta jabatan kerajaan.

Tambahnya, menerusi konsep tersebut, pegawai terlibat tidak perlu datang ke pejabat sebaliknya hanya perlu menjalankan tugas masing-masing dari rumah sahaja.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti bidang tugas yang boleh dilaksanakan dari rumah kerana bukan semua kerja boleh dilakukan sedemikian.

“Konsep kerja dari rumah memang bagus dan tidak pernah terfikir sebelum COVID19,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, pihaknya juga akan meneliti petunjuk-petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dipatuhi pegawai yang terlibat dengan kerja dari rumah itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com