Friday, 3, May, 2024
Utama Negeri UUM akur saranan menteri jika perlu tangguh pendaftaran pelajar baharu

UUM akur saranan menteri jika perlu tangguh pendaftaran pelajar baharu

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) akur dan menyambut baik saranan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad kemungkinan menangguhkan pendaftaran pelajar baharu bagi sesi akademik 2020/2021 pada Oktober depan.


Hal ini berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda di negeri Kedah menunjukkan peningkatan kes.


Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pendaftaran kemasukan pelajar baharu itu nanti juga bergantung kepada situasi semasa Covid-19 di negeri ini.


“Kita akan pastikan segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dipatuhi dan saya berhasrat untuk kekalkan kampus UUM sifar Covid-19.


“Pihak universiti juga telah membuat persiapan awal agar tiada pelanggaran SOP terjadi dan kita akan sentiasa merujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa,” katanya.


Merujuk kepada laporan berita oleh Menteri Pengajian Tinggi menyatakan bahawa kepulangan pelajar dan kemasukan pelajar baharu itu mungkin ditangguhkan sekiranya kes Covid-19 di Kedah dan Sarawak didapati meningkat.


Dato’ Dr. Noraini berkata, sekiranya penangguhan itu diputuskan, ia akan dilakukan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri yang terlibat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com