Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Hentikan andaian, tular video kubur ‘berdarah’

Hentikan andaian, tular video kubur ‘berdarah’

oleh Ammar Haziq
Ahmad Faisol (dua kanan) turun meninjau keadaan kubur yang tular semalam dan kawasan persekitarannya pagi ini.

ALOR SETAR – Pejabat Agama Daerah Kota Setar meminta orang ramai agar tidak terus membuat andaian termasuk menularkan video kubur ‘berdarah’ di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan, Derga, dekat sini.


Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Ahmad Faisol Omar berkata, masyarakat harus faham perkara seumpama itu sensitif untuk dibahaskan terutamanya di media sosial.

“Sebagai pegawai agama daerah, saya nasihatkan supaya tidak menularkan video demi menjaga sensitiviti dan perasaan ahli keluarga mangsa,”katanya.


Menurutnya, pihaknya juga menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut terhadap kejadian tersebut.


“Saya tidak dapat membuat sebarang pengesahan berhubung cecair berwarna merah di kubur berkenaan dan hal ini kita serahkan kepada polis memandangkan kes terbabit telah berada di dalam siasatan pihak berwajib,” katanya.


Semalam, media tempatan melaporkan video sebuah ‘kubur berdarah’ di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Al Irfan, Derga, di sini, menjadi tular di laman sosial.


Video berdurasi 19 saat itu memaparkan kejadian aneh mengemparkan masyarakat setempat sekitar Bandaraya Alor Setar hingga ramai penduduk datang untuk melihat sendiri keadaan itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com