Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri Kubur warga emas digali, polis tunggu laporan bedah siasat

Kubur warga emas digali, polis tunggu laporan bedah siasat

oleh Ammar Haziq
Datuk Wan Hassan Wan Ahmad

KULIM, 8 OKT – Kubur seorang wanita warga emas yang disyaki anaknya meninggal dunia kerana perbuatan jenayah selamat digali di sebuah tanah perkuburan di Serdang, dekat sini semalam.

Difahamkan, kubur terbabit digali semula kira-kira 11 pagi semalam sebelum jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi menjalani proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa sama ada mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya.

Proses menggali kubur berkenaan berjalan lancar dengan dipantau serta dikawal rapi pegawai polis dan disaksikan ahli keluarga.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, proses penggalian kubur wanita warga emas berkenaan dilakukan susulan daripada laporan dibuat anak mangsa yang mengesyaki kematian ibunya kemungkinan disebabkan akibat perbuatan jenayah.

“Keluarga mangsa membuat laporan kerana tidak berpuas hati serta mendakwa ia berpunca daripada sebab lain (jenayah)… jadi kita melakukan kerja menggali kubur mengikut prosedur.
“Siasatan akan dijalankan secara rapi serta menyeluruh bagi mengetahui punca sebenar kematian wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, laporan bedah siasat akan diketahui dalam tempoh terdekat dan sekiranya keputusan mendapati kematian mangsa mempunyai unsur jenayah pihaknya akan membuka kertas siasatan berhubung kes terbabit.

Portal Kedah Gazette semalam melaporkan kubur seorang wanita berusia 79 tahun terpaksa digali susulan laporan polis dibuat anak lelakinya yang curiga dengan kematian mangsa.

Ini berikutan kematian mangsa yang mayatnya ditemukan dalam rumah di sebuah kampung di Serdang itu berkemungkinan menjadi mangsa jenayah selepas barang kemas iaitu gelang, dua cincin dan telefon bimbit mangsa didapati hilang.

Selain itu, anaknya turut mendakwa dia melihat kesan tompokan darah pada cadar serta kain lampin dipakai mangsa selepas membuat pemeriksaan lanjut.


Susulan daripada laporan serta maklumat daripada anaknya itu polis memohon permit kepada mahkamah untuk menggali semula kubur wanita terbabit, semalam.

Terdahulu, kematian wanita terbabit pada mulanya diklasifikasi sebagai mati mengejut namun selepas dikebumikan, ahli keluarga mengesyaki kejadian itu kemungkinan mempunyai unsur jenayah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com