Sunday, 5, May, 2024
Utama Nasional Sepasang suami isteri ditahan bersama ganja 20 kilogram

Sepasang suami isteri ditahan bersama ganja 20 kilogram

oleh admin

ALOR SETAR, 7 Sept – Sepasang suami isteri yang menggunakan kereta sewa untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah berjaya ditahan polis di Kuala Kedah pada Ahad lalu.

Lelaki dan wanita warga tempatan yang berusia 33 dan 29 tahun itu ditahan ketika melakukan kegiatan pengedaran dadah di perkarangan parkir sebuah premis di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dalam tangkapan itu, polis berjaya merampas dadah jenis ganja seberat hampir 20 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM50,000.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah menjalankan pemerhatian selama 20 minit sebelum melihat sebuah kereta jenis Proton Saga memasuki kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai dua beg kanvas di atas kerusi penumpang belakang yang mengandungi 20 bungkusan plastik lutsinar yang berisi ketulan mampat tumbuh-tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Ahmad Shukri berkata kedua-dua suspek yang bekerja sebagai nelayan dan tukang cuci itu dipercayai telah menjadi pengedar selama setahun.

“Bekalan dadah ini diperoleh dari Selatan Kedah untuk dipasarkan di sekitar daerah Kota Setar dan sekiranya dadah ini terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh 20,000 penagih dadah.

“Turut disita ialah sebuah kereta jenis Chevrolet dan motosikal jenis Yamaha milik suspek yang mana nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM68,000 termasuk dadah. Suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya.

Tambahnya, saringan urin terhadap kedua-dua suspek juga negatif dan mereka ditahan reman sehingga 11 Sept depan dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B ADB 1952.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com