Saturday, 4, May, 2024
Utama Negeri Pelajar patah hidung hanya kerana RM1

Pelajar patah hidung hanya kerana RM1

oleh Ammar Haziq
Kedua-dua pelajar berkenaan kemudian dipanggil guru disiplin selepas kejadian itu dan mangsa dinasihatkan supaya membuat laporan polis.

ALOR SETAR, 11 Sept – Hanya kerana RM1, dua pelajar lelaki bergaduh sehingga seorang daripadanya patah hidung dalam kejadian di kantin sebuah sekolah menengah, dekat sini dua minggu lalu.

Menurut sumber, dalam kejadian pada 10.40 pagi itu, mangsa berusia 13 tahun yang juga pelajar tingkatan satu didatangi rakannya iaitu pelajar tingkatan empat yang secara tiba-tiba meminta RM1 daripadanya.

“Kejadian berlaku di kantin sekolah ketika waktu rehat dan mangsa enggan memberikan wang seperti diminta pelajar senior itu sebelum berlaku perselisihan faham antara mereka berdua.

“Situasi bertukar menjadi lebih buruk apabila berlaku pergaduhan yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan akibat ditumbuk di hidung oleh pelajar tingkatan empat berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua pelajar berkenaan kemudian dipanggil guru disiplin selepas kejadian itu dan mangsa dinasihatkan supaya membuat laporan polis.

“Waris yang dimaklumkan berhubung kejadian itu kemudian membawa mangsa pada 11.30 pagi hari yang sama untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum diminta hadir membuat rawatan susulan seminggu kemudian.

“Doktor yang melakukan rawatan susulan mendapati hidung mangsa patah menyebabkan pelajar tingkatan satu berkenaan terpaksa ditahan di wad selama empat hari sebelum dibenarkan keluar pada Rabu lalu,” katanya.

Tambah sumber lagi, mangsa mengenali suspek kerana telah berkawan sejak kecil dan kejadian itu mungkin berlaku kerana salah faham diantara kedua-dua pelajar berkenaan. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com