Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Dadah lebih RM1 juta dilupuskan

Dadah lebih RM1 juta dilupuskan

oleh Ammar Haziq
Wan Hassan (kanan).

ALOR SETAR, 12 Okt. – Sejumlah dadah bernilai lebih RM1 juta melibatkan kes bermula 2014 hingga 2021 di negeri ini, dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan oleh sebuah syarikat berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berpangkalan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pelbagai jenis dadah tersebut antaranya syabu, heroin serta air ketum dilupuskan setelah mendapati perintah dari mahkamah.

“Secara keseluruhannya, dadah serta air ketum yang dilupuskan ini merangkumi 3,506 kertas siasatan yang sudah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman di mahkamah sejak 2014 hingga 2021.

“Nilai keseluruhan yang dilupuskan ini adalah RM1.04 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Wan Hassan (kiri) memasukkan dadah yang dilupuskan ke dalam tong.

Mengulas lanjut katanya, tindakan agresif yang diambil terhadap individu terlibat dadah terdiri daripada penagih dan pengedar, telah berjaya mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Setakat September lalu katanya, sebanyak 10,000 penagih telah ditahan di negeri ini dengan pihaknya turut melancarkan operasi besar-besaran secara mengejut seperti dilakukan di Flat Paya Nahu, Sungai Petani serta Kuala Kedah baru-baru ini.

“Usaha kita ini tampak membuahkan hasil. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, kita mungkin dapat lihat kes jenayah di Kedah mencecah 20 kes sehari tetapi sekarang apabila tumpuan diberi untuk membanteras dadah, kes jenayah selalunya tidak sampai 20 malah seringkali tidak melepasi angka 10.

“Kita memang tidak berkompromi. Saya sendiri telah arahkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) gempur sarang-sarang penagihan kerana di situlah biasanya dadah-dadah ini diedarkan ,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com