Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Tentera tahan 14 PATI cuba menyorok dalam sungai

Tentera tahan 14 PATI cuba menyorok dalam sungai

oleh Ammar Haziq
PATI gagal melepasi kawalan keselamatan negara ini apabila jejak mereka berjaya dikesan sepasukan anggota tentera yang melakukan rondaan di sempadan Malaysia Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, semalam.

KUBANG PASU, 26 Oktober – Seramai 14 pendatang asing tanpa izin warganegara Myanmar gagal meloloskan diri untuk masuk lebih jauh ke negara ini apabila jejak mereka berjaya dikesan sepasukan anggota tentera yang melakukan rondaan di sempadan Malaysia Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, semalam.

Kenyataan dikeluarkan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) memaklumkan, tangkapan tersebut dibuat di Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia berhampiran kawasan Kemajuan Tanah Bukit Tangga.

Kira-kira pukul 10.30 pagi katanya, tim ronda yang sedang melaksanakan rondaan di situ, mengesan pergerakan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan, cuba bersembunyi di kawasan laluan sungai.

“Anggota bertugas seterusnya menjejaki dan menahan kesemua individu berkenaan seramai 14 orang. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka merupakan warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita. Turut dirampas adalah tiga telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Myanmar, 10 kad pengenalan Myanmar serta tujuh beg pakaian dengan nilai keseluruhan dianggarkan rampasan dianggarkan RM1,500.

Semua PATI warganegara Myanmar diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

Tambahnya, kesemua PATI yang ditahan diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

“Pasukan operasi akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan PATI dan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan,” tegasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com