Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Penduduk minta Kerajaan Kedah batalkan projek kuari

Penduduk minta Kerajaan Kedah batalkan projek kuari

oleh Ammar Haziq

BALING – Penduduk di sekitar Gunung Baling dan Gunung Pulai meminta kerajaan negeri memberi jawapan telus mengenai status projek kuari di dua gunung berkenaan samada sudah dibatalkan atau sekadar ditangguhkan.


Penasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Sobri Ramlee berkata, jarak tapak cadangan kuari dari penempatan penduduk sekitar hanya 150 meter dari Gunung Pulai manakala 990 meter dari Gunung Baling.

Pihaknya berharap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membatalkan terus projek itu sebelum habis penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi.

“MB Sanusi pun pernah sampai ke sini untuk membantah semasa beliau menjadi ketua pembangkang, jadi beliau sudah faham arif apa yang akan berlaku jadi kita berharap dengan kefahaman beliau apa maklumat yang beliau ada dia batalkan terus kerana dia adalah exco hasil bumi di Kedah.


“Makluman semua pada 2021 ada kerja-kerja awal telah dilakukan oleh pihak kontraktor iaitu Indah Sejagat dengan menebuk kaki gunung Baling untuk diletakkan bahan letupan pada mesin-mesin semua. Pada waktu itu kita bantah kerana berdasarkan EIA dan apa yang kita bantah, projek itu ditangguhkan sahaja sehingga kini, itu MB sudah maklum.


“Sepatutnya MB boleh bantu kita semua untuk batalkan terus dah tiga tahun habis penggal. Kita harap sebelum habis penggal ni harap beliau batalkan terus cadangan kuari sebab pendudul semua dah penat dan dalam ketakutan,” katanya.


Mohd Sobri berkata sekiranya projek itu diteruskan selepas ini, ia akan memberi kesan kepada kualiti udara selain menyebabkan pelbagai penyakit akibat daripada habuk letupan dan kerja-kerja kuari.


Menurutnya, projek itu juga bakal  menjejaskan sumber air mentah penduduk berikutan kualiti air Sungai ketil yang terletak hanya 100 meter dari tapak cadangan projek.


Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Bantahan Kuari di dua gunung berkenaan, Kamaruddin Zakaria, 57, berkata projek kuari di dua gunung berkenaan dilihat hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja dan mendatangkan mudarat kepada penduduk.

Jelasnya, kira-kira hampir 2,000 penduduk di kaki Gunung Pulai terutama di Kampung Padang Che Mas akan terjejas terutama bagi mereka yang menjadikan kawasan itu sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

“Sekiranya terjadi kuari di sini sumber pendapatan orang kampung di sini sumber pendapatan utama menoreh getah, dusun buah-buahan akan terhakis disebabkan debu-debu berterbangan yang boleh menjejaskan sumber pendapatan, mengurangkan hasil pengeluaran getah, hasil pengeluran dusun.


“Secara automatik berkurang lah pendapatan penduduk kampung. Bencana lain seperti banjir kilat, debu-debu, pencemaran mengganggu kesejahteraan penduduk terutama kesihatan,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com