Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Malaysia berada kedudukan strategik laksana HETR

Malaysia berada kedudukan strategik laksana HETR

oleh admin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Malaysia mampu melaksanakan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) apabila negara sudah berada pada kedudukan yang strategik.

Beliau berkata ketika ini Malaysia menerima permintaan yang tinggi bagi pasaran hidrogen antarabangsa terutamanya dari Jepun, Korea Selatan dan Singapura.

“Petronas adalah pengeksport utama amonia Asia Pasifik dan mempunyai pengalaman dan saya juga ucap tahniah kepada Petronas dan Sarawak Energy dan TNB telah mula melaksanakan dan mendahului negara-negara ASEAN yang lain.

“Kita berada pada tapak (kedudukan) yang lebih kedepan iaitu atas inisiatif Sarawak Energy, Petronas dan juga TNB,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berhubung kelebihan Malaysia dalam menjadi penggerak utama pelaksanaan HETR di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Kata Perdana Menteri, Malaysia juga mempunyai kelebihan dalam sumber tenaga hidup bagi penjanaan hidrogen hijau yang perlu dimanfaatkan menerusi beberapa fasa penyelidikan.

“Dalam hal ini, Sarawak sekali lagi yang menerajui pembangunan ekosistem dan penjanaan hidrogen hijau di Malaysia.

“Kekangan kita ialah tentang beberapa industri baharu yang berdepan tentang penyeludupan dan juga tindakan haram.

“Hanya Negeri Sembilan yang telah ambil tindakan tegas menutup kilang-kilang haram namun beberapa negeri lain masih belum ambil tindakan tegas bagi menghalang terutamanya orang asing dalam menggunakan keupayaan dan hasil negara,” tegas Anwar.

Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan, pelan HETR itu mampu menyumbang sehingga RM61 bilion terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 selain inisiatif itu juga bawak mewujudkan sebanyak 45,000 peluang pekerjaan.

Pelan HETR telah diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Sains Negara baru-baru ini.

HETR telah mula digunakan oleh beberapa negara luar bagi meneroka penggunaan hidrogen antaranya dalam sektor mobiliti, industri dan sektor-sektor intensif tenaga yang lain.

Matlamat itu juga selaras dengan sasaran peralihan tenaga, keperluan penyahkarbonan serta selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com