Monday, 29, April, 2024
Utama Politik Kebebasan bersuara di negara ini ada batasnya – Mahdzir

Kebebasan bersuara di negara ini ada batasnya – Mahdzir

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI, 16 Julai – Akaun TikTokMenteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang telah digantung oleh pihak TikTokkerana ucapannya yang berpotensi untuk memecahbelahkan masyarakat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun kebebasan bersuara adalah hak bagi setiap rakyat, setiap platform yang digunakan tetap ada batasannya.

“Di seluruh dunia, kebebasan ada batasnya. Malah di Singapura, terdapat ISA, dan setiap negara mempunyai undang-undang menentang hasutan.

Kebebasan adalah penting, tetapi ia perlu dikenal pasti batasannya. Apabila seseorang melampaui batasan dan menyebabkan kegusaran kepada orang lain, maka sudah tiba masanya untuk tutup (perkara tersebut).”

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan BN Bahagian Merbok di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Sanusi yang mendakwa akaun TikToknya yang telah digantung semalam sebagai satu tindakan untuk mengganggu kempen pilihan raya negeri (PRN).

Selain itu, Sanusi, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mendakwa, Kerajaan Perpaduan sedang mengamalkan kawalan untuk menekan parti pembangkang menjelang PRN pada 12 Ogos depan.

Mahdzir berkata, menetapkan batasan kepada kebebasan bersuara adalah satu keperluan untuk mengelakkan peningkatan kebencian dalam masyarakat.

“Kita mempunyai dua perkara penting yang perlu dipertimbangkan. Pertama, perpaduan dan kedua kita tidak boleh menaruh kebencian atau mengeluarkan perkataan yang menghasut kebencian. Kita harus memberi keutamaan kepada perpaduan.

Jika kita tidak berhati-hati, perpaduan dapat mudah hancur dan ia boleh membawa kepada permusuhan antara bangsa Melayu dan Cina, Cina dan India, India dan Melayu dan sebagainya,” katanya.

Tegas beliau, rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa negara ini berbilang kaum dan perlu saling menghormati antara satu sama lain, sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu mengakui bahawa majoriti penduduk Malaysia adalah Muslim dan seperti yang termaktub dalam perlembagaan, semua pihak menerima bahawa Islam adalah agama rasmi.

Kita juga menerima bahawa negara ini adalah sebuah negara yang berbilang kaum dengan pelbagai agama, termasuk Islam, Buddha, Kristian, dan semua agama lainnya,” tambah beliau.

Untuk rekod, pada November 2022, Tiktok telah memaklumkan bahawa ahli atau parti politik yang menggunakan TikTok untuk menyebarkan kandungan yang mengelirukan, maklumat palsu, atau iklan politik, akan dilarang dari platform tersebut.

Ketua Dasar Awam (Malaysia dan Filipina) Tiktok, Kristoffer Rada, dilaporkan berkata, platform tersebut akan melarang penyebaran maklumat palsu yang boleh menyebabkan kerosakan kepada komuniti, termasuk maklumat mengelirukan berkaitan pilihan raya dan proses sivik yang lain.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com