Tuesday, 30, April, 2024
Utama Politik PRN mesti jadi mercu tanda selamatkan negara – Anwar

PRN mesti jadi mercu tanda selamatkan negara – Anwar

oleh Ammar Haziq

YAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang menjadi menjadi mercu tanda untuk menyelamatkan negara.

Dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Barisan Nasional-Pakatan Harapan Negeri Kedah pada Sabtu, Anwar sekali lagi berjanji bahawa Pakatan Harapan dan Barisan Nasional akan bekerja keras, menyokong satu sama lain demi misi khidmat untuk rakyat.

“Saya yakin kalau PH dan BN buat kerja dengan betul, dari atas sampai bawah, fikir masa depan dan negara, hindar daripada sentimen lama, hindar daripada mendengar propaganda karut mereka dan tahu tak ada pilihan bagi negara, kita pilih satu dasar sederhana yang boleh angkat ekonomi, jaga semua rakyat, atau kita pilih parti yang bawa kerosakan, pecah-belah masyarakat dan negara?

“Ini bukan pilihan, ini satu imperatif yang harus diambil. Saya yakin, saya beritahu Datuk Seri (Ahmad) Zahid (Hamidi), gerakkan orang PH, calon PH calon dia, calon BN calon dia. Orang UMNO, calon PH calon dia, calon BN calon dia.

“Kalau ada pandangan begitu, kita akan menang bergaya di negeri Kedah,” katanya.

Tambah Anwar, sebagai sebuah negara dengan pelbagai kaum dan agama, Malaysia tidak mampu untuk mempunyai pemimpin yang menanam rasa perpecahan yang terus memainkan isu sensitif, sedangkan pada hakikatnya hanya mahu menjaga kepentingan diri sendiri.

“Mereka yang keluar UMNO dan Keadilan macam gila talak. Tapi ingat, orang khianat, kalau dia berbeza pendapat atau prinsip, prinsip apa? Sebab kita lawan rasuah? Tatakelola? Oh, sebab DAP.

“Dulu Pas dengan DAP berapa lama? Saya jarang peluk (Tan Sri) Lim Kit Siang, Ustaz (Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) peluk. Jadi apa prinsipnya?” tanyanya.

Beliau juga menegur permainan strategi Kerajaan Perpaduan yang dilihat terlalu defensif dalam memperjelaskan prinsip dan kedudukan mereka.

“Kita mahu selamatkan negara ini, jamin perpaduan dan keadilan, angkat martabat orang Melayu, jamin kedudukan bangsa lain. Kita tidak akan minta maaf.

“Ini negara untuk semua, keadilan untuk semua, biarlah mereka nak kata apa tetapi ini prinsip kita,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com