Friday, 10, May, 2024
Utama Nasional Prestasi negara semakin bertambah baik-PM

Prestasi negara semakin bertambah baik-PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu prestasi negara kini semakin bertambah baik sejak beliau menerajui negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, selain menerima banyak jemputan luar, beberapa pemimpin luar negara juga dijadualkan akan mengadakan lawatan rasmi ke negara ini antaranya Presiden Filipina, Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

“Ini pertama kali Presiden Filipina datang selepas berpuluh tahun tidak berbuat demikian. Sementara itu, awal bulan depan, Sultan Brunei turut akan berangkat ke sini.

“Orang pandang hebat Malaysia sekarang. Saya diundang ke merata negara termasuk Amerika Syarikat, Holand dan Arab Saudi, tetapi saya tak pergi melainkan negara ASEAN yang perlu saya utamakan,” katanya pada program Hulu Kelang Bersama PMX di Padang Rumah Pangsa PKNS AU2, Taman Keramat di sini pada malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menepis dakwaan pembangkang yang memainkan isu beliau tidak diterima oleh kerajaan Arab Saudi.

“Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman tulis surat yang ditandatangani sendiri olehnya, menjemput saya membuat lawatan rasmi tetapi saya belum dapat memberikannya tarikh lagi.

“Selain itu, minggu lalu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menghubungi saya meminta saya membuat lawatan rasmi kerana sebelum ini saya ke sana atas sebab gempa bumi,” katanya.

Beliau berkata, hubungan baik antara negara penting bagi membuka peluang ekonomi seperti kejayaan menarik pelaburan daripada syarikat kenderaan elektrik, Tesla Inc ke Malaysia.

“Pembangkang memainkan isu yang mereka itu terlebih dahulu jumpa dan jemput Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk. Betul kamu dah jemput tapi dia tak datang.

“Elon Musk yang hendak buat panggilan video untuk bercakap dengan saya dan beliau bersetuju membuka ibu pejabat Tesla di Cyberjaya.

“Ini kerana keyakinan beliau kepada Menteri Besar Selangor. Sebab itu, kita mahu kekalkan Amirudin sebagai MB Selangor,” katanya.

Katanya, matlamat utamanya adalah menoktahkan kemiskinan berikutan Malaysia sudah merdeka hampir 66 tahun.

“Ini kerana ketika saya susah dahulu, saya masuk penjara kerana tolong rakyat miskin Baling, saya ingat dalam banyak-banyak saya pergi mana-mana Reformasi, yang paling kuat sokong adalah orang susah, bukan Tan Sri kaya-raya, yang bilion-bilion, tidak ada.

“Sekarang Allah takdirkan, Alhamdulillah. Raja-Raja Melayu mesyuarat, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) titah, bentuk Kerajaan Perpaduan Anwar jadi Perdana Menteri,” katanya.

Namun begitu Presiden PKR itu mendakwa, ada pihak benar-benar sakit hati kerana mendakwa YDPA tidak mengatakan pembentukan kerajaan perpaduan.

“Raja-raja putuskan sedemikian kerana tidak mahu Malaysia menjadi seperti Thailand pilihan raya sudah dilaksanakan dua, namun Perdana Menteri tidak dapat dilantik.

“Namun di Malaysia selepas empat hari, Agong panggil Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyidddin Yassin danPresiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ‘bincang buat kerajaan Perpaduan’ dia tak mahu.

“Baginda kemudian jumpa saya, saya pun berat nak (kerajaan) perpaduan ini dengan parti yang dahulu kita lawan, tetapi pertama Titah Tuanku, yang titah itu ada sebab, kalau tidak, tiada yang mempunyai majoriti.

“Jadi saya jumpa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, saya bincang panjang dengannya, tetapi dia tidak kata, ‘lepaskan kes saya, bagi duit dekat saya’, tidak ada,” katanya.

Anwar menjelaskan, Presiden UMNO itu sebaliknya menanyakan adakah PKR, AMANAH dan DAP setuju dengan prinsip perpaduan.

“Saya bertanya kepadanya ‘kamu boleh setuju prinsip ini seperti menghentikan amalan rasuah, curi duit rakyat’ itu persoalan pertama saya.

“Dia setuju, saya setuju, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor setuju. Kita hentikan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com