Saturday, 27, April, 2024
Utama Politik Peruntukan yang diumum Zahid tiada kaitan dengan PRN

Peruntukan yang diumum Zahid tiada kaitan dengan PRN

oleh admin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peruntukan lebih RM500,000 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu Jumaat lalu, tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Anwar yang juga Menteri Kelantan berkata peruntukan yang diumumkan Ahmad Zahid kepada beberapa persatuan di negeri itu adalah sebahagian daripada program kerajaan Persekutuan dan diumumkan sebelum penamaan calon PRN bermula.

Sehubungan itu, Anwar meminta semua pihak berlaku adil kerana kerajaan Persekutuan tidak boleh menangguhkan program dan peruntukan yang sudah dirancang sejak sekian lama, hanya kerana PRN berlangsung.

“Penamaan calon semalam. (Urusan) kerajaan masih berjalan. Seperti yang saya umum tadi (peruntukan perluas program Rahmah), dia tak ada kena mengena dengan PRN.

“Ada orang cadang tak boleh umum langsung. Tak boleh. Saya Perdana Menteri jaga negara sepenuhnya, kalau penting kita umum.

“Tapi saya sudah beritahu tak boleh guna jentera negeri kempen di negeri mulai semalam, hari penamaan calon sehingga hari mengundi. Itu keputusan jemaah menteri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2023, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak yang menyifatkan pengumuman peruntukan RM550,000 oleh Ahmad Zahid di Dungun, baru-baru ini sebagai ‘sogokan’ untuk PRN.

Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid mengumumkan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), selain meluluskan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu serta RM200,000 bagi kelab bermotosikal di negeri itu.

Bagaimanapun, peruntukan itu menimbulkan polemik selepas Ahmad Zahid mengatakan peruntukan itu mungkin ditambah sekiranya kumpulan belia ‘mengikut gelombang biru dan merah di Terengganu pada 12 Ogos nanti.’

Hari ini, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan peruntukan kerajaan Persekutuan kepada belia Terengganu itu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com