Saturday, 27, April, 2024
Utama Politik Kerajaan Perpaduan tak berat sebelah, berkhidmat untuk semua kaum – Anwar

Kerajaan Perpaduan tak berat sebelah, berkhidmat untuk semua kaum – Anwar

oleh admin

SEMENYIH – Kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum di negara ini sebaliknya semua inisiatif dan dasar yang diperkenal adalah bersifat inklusif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menempelak dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan bersikap berat sebelah, Anwar berkata, bantuan serta inisiatif Kerajaan Perpaduan akan dinikmati segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan bangsa.

Beliau berkata meskipun wang kerajaan tidak banyak namun dengan tatakelola yang telus tanpa melibatkan kepentingan peribadi, ia dapat digunakan bagi membantu rakyat.

“Wang ada tetapi tak banyak… tetapi sebab kita tak sakau dan tak gunakan untuk kepentingan peribadi…masih ada rahmat dan berkat Allah SWT untuk kita guna bantu rakyat”

“Saya tegaskan sama ada anda suka atau tidak, anda sokong atau sebaliknya (Kerajaan Perpaduan) kami tidak akan mengubah pendirian untuk membantu setiap rakyat di negara ini,” katanya ketika berucap pada ceramah Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Semenyih, Kajang, malam tadi.

Perdana Menteri berkata, antara inisiatif menyeluruh untuk semua kaum di negara ini ialah usaha kerajaan dalam menoktahkan masalah golongan miskin tegar.

Beliau berkata, bagaimanapun, ketika Kerajaan Perpaduan bersungguh-sungguh berusaha membantu rakyat terutama golongan miskin tegar, terdapat Ahli Parlimen Pas yang memperlekeh usaha itu.

“Ahli Parlimen Pas dakwa kita mana ada kerajaan boleh selesaikan masalah kemiskinan… mereka lupa dengan contoh pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz dalam dua tahun tiga bulan selesai miskin tegar.

“Saya amat keras dengan isu itu, sebab itu saya cakap tahun ini semua jentera kerajaan, menteri dan agensi mesti gerak kerja untuk henti dan noktahkan miskin tegar dalam negara ini,” katanya.

Anwar turut memberi jaminan Kerajaan Perpaduan akan memastikan bantuan kepada rakyat sentiasa bersifat inklusif dan tidak mengkhianati mana-mana kaum di negara ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com