Tuesday, 30, April, 2024
Utama Politik Anwar akan kaji peranan MIC

Anwar akan kaji peranan MIC

oleh admin

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengkaji permintaan MIC supaya wakil daripada parti itu dapat diberi peranan lebih besar dalam kerajaan.

Katanya beliau juga akan berbincang dengan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan berhubung perkara itu.

Bercakap di hadapan ribuan anggota MIC serta Presiden parti itu Tan Sri SA Vigneswaran di ibu pejabat MIC di sini Perdana Menteri berkata, beliau tidak nampak sebarang masalah berhubung perkara itu.

“Perlu saya ulangi, bahawa anda telah menunjukkan keyakinan (terhadap Kerajaan Perpaduan) dan pastinya saya amat menghargainya. Saya dan pergi ke serata negeri, terutama di sebelah pantai barat, dalam setiap majlis yang saya sertai, saya lihat pemimpin MIC turut sama hadir beri komitmen serta penghormatan. Untuk itu, saya ‘salute’ anda,” katanya menurut Bernama.

Turut hadir ialah timbalan presiden MIC Datuk Seri M Saravanan dan Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO.

Terdahulu, Vigneswaran dalam ucapannya membangkitkan isu kekurangan wakil daripada MIC dalam pentadbiran kerajaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selain menyuarakan rasa tidak senang hati dengan isu pembahagian kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

MIC dan MCA sebelum ini mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding dalam PRN, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut meminta supaya diberikan masa untuk menunaikan janji-janjinya, terutama berhubung usaha membasmi kemiskinan pelbagai kaum, termasuk kaum India.

“Tidak ramai dalam kalangan kaum Melayu saya berani bersuara secara terbuka, bukan hanya dalam Parlimen, tapi juga di luar Parlimen, untuk mengakui bahawa majoriti yang miskin adalah kaum Melayu, namun yang lebih miskin lagi adalah dalam kalangan kaum India. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menangani perkara ini, tanpa mengira bangsa.

Anwar berkata negara memerlukan satu dasar membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com