Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Tunda ikan 600kg di zon larangan, nelayan asing ditahan

Tunda ikan 600kg di zon larangan, nelayan asing ditahan

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Ikan campur seberat 600 kilogram bernilai RM1800 dipercayai hasil tangkapan kaedah menunda atau tarik tepi oleh sebuah bot nelayan tempatan Kelas C telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis kerana melakukan aktiviti berkenaan di zon larangan perikanan iaitu pada di kedudukan kira-kira 8.3 batu nautika barat daya Pulau Segantang di sekitar pukul 12 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Romli bin Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi.

Bot terbabit ditahan bersama seorang tekong dan tiga orang awak-awak yang kesemuanya warga Thailand dalam anggaran usia antara 37 hingga 49 tahun.

Kru, tekong dan bot telah ditahan dan diiring bersama ikan campur ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menunda ikan di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.

Kegiatan ini sukar dikesan kerana ia tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot melepasi jarak 15 batu nautika daripada pantai.

Sekiranya aktiviti ini berterusan berlaku pada jarak kurang 15 batu nautika daripada pantai, ia akan menjejaskan keseimbangan ekosistem sekaligus telah mengganggu mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.

Bagi membanteras aktiviti seumpama ini, Maritim Malaysia memohon kerjasama daripada seluruh masyarakat khususnya komuniti maritim agar dapat menyalurkan maklumat mengenai kegiatan yang mencurigakan seperti jenayah serta kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com