Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Maritim rampas 670 bubu naga bernilai lebih RM80,000

Maritim rampas 670 bubu naga bernilai lebih RM80,000

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH- Sejumlah 670 set bubu naga telah berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah dalam satu operasi khas yang telah dijalankan selama dua hari di beberapa lokasi di perairan Tanjung Dawai hingga ke perairan Kuala Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, operasi khas ini merupakan kerjasama antara Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Ibu Pejabat Maritim Putrajaya dan Unit Risik Zon Maritim Kuala Kedah berikutan peningkatan aduan awam dan pemantauan rutin yang dilakukan oleh pihak Maritim Malaysia.

Semasa rondaan dilakukan, pihak Maritim Malaysia menemui pelbagai taktik yang digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengubah lokasi semasa pemasangan bubu, meletakkan pelampung penanda yang mengelirukan seperti botol, bendera, pancang kayu, pelampung kecil, gabus, kain berwarna yg diikat pada tong kecil, tong minyak kecil dan cubaan meletakkan bubu dalam satu tempoh masa yang berlainan.

Selain itu, penggunaan beberapa alatan GPS yang tidak berlesen dan tidak diluluskan pada setiap bubu naga yang berukuran kira-kira 10 meter panjang itu juga dilihat semakin meningkat.

Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM80,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com