Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional AHTV selangkah jadi hab kenderaan tenaga baharu dunia

AHTV selangkah jadi hab kenderaan tenaga baharu dunia

oleh Ammar Haziq

TANJUNG MALIM: Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) dijangka menarik komitmen pelaburan tempatan dan luar negara, sekali gus bakal mendorong pusat berkenaan menjadi hab automotif antarabangsa dalam kenderaan tenaga baharu (NEV) global.

DRB-Hicom Bhd dalam satu kenyataan berkata, tumpuan pelaburan baharu itu bukan sahaja berpaksikan kepada pengeluaran kereta pelbagai jenama, malah mendorong dalam aspek pembuatan komponen dan alat ganti berteknologi tinggi untuk NEV.

“Ini akan memperluaskan lagi keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.

AHTV semalam mencipta satu lagi detik bersejarah dengan pemeteraian Perjanjian Kerjasama Utama (MCA) antara DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely Holding) yang berlangsung di Tanjung Malim.

Kerjasama itu menyaksikan DRB-Hicom memuktamadkan rangka kerja untuk pembangunan AHTV dengan menetapkan prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama dalam pembangunan projek AHTV, termasuk peranan khusus yang perlu dilaksanakan untuk pembangunan dan inisiatif promosi.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Hartanah dan Perancangan & Strategi Korporat DRB-Hicom, Azri Zaharuddin telah menandatangani bagi pihak DRB-Hicom manakala Geely Holding diwakili Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Operasinya, Dr Wei Mei.

Majlis disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi Geely Holding, Eric Li; dan Pengerusi Proton Holdings Bhd (PROTON), Tan Sri Syed Faisal Albar.

DRB-Hicom berkata, perjanjian yang dimeterai bersama Geely Holding akan membawa kerjasama antara kedua-dua entiti itu ke peringkat seterusnya.

“Perkembangan terbaharu ini adalah susulan daripada pemeteraian Perjanjian Dasar Induk (HoA) oleh DRB-Hicom dan Geely Holding awal tahun ini di Forum Perniagaan Malaysia-China di Beijing, China,” katanya.

Selain MCA itu, satu pemeteraian HoA antara Altel Communications Sdn Bhd (Altel) dan syarikat pelaburan strategik Geely Holding, Zhejiang Geespace Technology Co Ltd (Geespace) turut diadakan.

HoA berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi dan akan mempercepatkan pelaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor seperti pelabuhan pintar.

Pada pemeteraian HoA itu, Altel, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi diwakili ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Richard Kitts, manakala Geespace diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tony Wang.

Mencerminkan kepentingan strategik AHTV, Perdana Menteri juga telah mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Projek AHTV peringkat tertinggi sebelum majlis menandatangani perjanjian dimulakan.

Turut sama dalam mesyuarat itu ialah ahli kanan pasukan Projek AHTV dan pegawai kerajaan Persekutuan serta Negeri.

Sementara itu, Anwar dalam satu kenyataan di Facebook berkata, sokongan Kerajaan Perpaduan serta kelancaran projek ini menjadi contoh kepada pelabur-pelabur terhadap pendekatan Malaysia dalam memudah cara pelaburan dengan cekap dan segera.

“Semoga projek ini berjaya seperti yang dirancang, Insya-Allah,” katanya.

Projek AHTV membabitkan pembukaan di kawasan berkeluasan dianggarkan kira-kira 400 hektar yang akan dibangunkan sebagai hab Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) di Tanjung Malim.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai kira-kira RM32 bilion, termasuk pelaburan daripada syarikat kereta nasional, PROTON.

Apabila direalisasikan sepenuhnya, AHTV akan menjadi pusat penyelidikan berasaskan tropika diiktiraf di peringkat global dan pembangunan komponen automotif berteknologi tinggi.

Ia turut merangkumi universiti penyelidikan yang bertujuan memperluaskan keupayaan pekerja automotif Malaysia dan membantu negara menjadi peneraju serantau pendidikan kejuruteraan automotif, teknologi maklumat, kecerdasan buatan, dan pembangunan perisian.

AHTV yang dibangunkan DRB-Hicom dan Geely Holding mampu membantu meningkatkan sumbangan sektor automotif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada RM64.5 bilion pada 2022 kepada RM104.2 bilion menjelang 2030.

Tengku Zafrul sebelum ini berkata, AHTV sebagai pemacu utama bagi pelabur automotif yang sedang mempertimbangkan untuk terus mendapatkan rantaian bekalan serantau atau global mereka.

Katanya, visi besar AHTV akan mengubah Tanjung Malim di Perak menjadi hab profesional industri automotif boleh menetap, bekerja dan membangunkan teknologi baharu yang akan digunakan dalam NxGV, kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com