Thursday, 16, May, 2024
Utama Nasional Anwar jumpa pimpinan gerakan, pertubuhan Islam di Indonesia

Anwar jumpa pimpinan gerakan, pertubuhan Islam di Indonesia

oleh Ammar Haziq

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil peluang bertemu dan bertukar-tukar pandangan dengan 11 pertubuhan Islam di Indonesia, semalam.  

Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Ketua Umum Muhammadiyah, Bapak Haedar Nashir; Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), Dr. Adian Husaini dan Prof. Din Syamsuddin serta Ketua Muslimat Nadhatul Ulama (NU) serta Gabenor Jawa Timur, Ibu Khofifah Indar Parawansa yang turut hadir dalam pertemuan itu. 

Katanya, pertemuan ini bermakna meskipun jadualnya padat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 dan sidang-sidang kemuncak di Jakarta bermula hari ini hingga Khamis. 

“Pertemuan ini amat bermakna tatkala kami mengimbau garis sejarah permulaan saya sebagai aktivis yang pernah belajar dari hikmah tokoh Islam Indonesia seperti Bapak Mohammad Natsir dan Buya Hamka.

“Dalam perbincangan ini, kami banyak menyentuh tentang pemikiran, keilmuan, dakwah dan isu yang dihadapi dunia Islam. 

“Siri pertemuan dan diskusi seperti ini akan terus disemarakkan demi memperkukuh kerjasama erat Malaysia dan Indonesia serta terus memelihara persaudaraan antara gerakan dan pertubuhan Islam dari kedua-dua negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini. 

Indonesia bertindak sebagai Pengerusi ASEAN di bawah tema “ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”.

Anwar akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan perasmian Forum ASEAN-Indo Pasifik (AIPF) serta mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di sana dan sahabat-sahabat Indonesia dalam Program Temu Anwar.

Semalam, Anwar melahirkan harapan bahawa penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak tahunan itu akan mengukuhkan lagi Kepusatan ASEAN di rantau Indo-Pasifik dan menggalakkan keterangkuman serta keterbukaan ASEAN dalam menjalin hubungan dengan rakan luar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com