Sunday, 5, May, 2024
Utama Nasional Malaysia sedia bantu usaha menyelamat, pemulihan di Magribi

Malaysia sedia bantu usaha menyelamat, pemulihan di Magribi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Kerajaan bersedia untuk membantu Maghribi dalam usaha menyelamat dan pemulihan susulan gempa bumi yang melanda negara itu kelmarin (Jumaat) .

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman Twitter rasminya pada hari ini berkata, beliau terkejut dan sedih dengan tragedi menimpa negara tersebut.

Katanya, Malaysia turut bersimpati kepada mangsa dan ahli keluarga mereka yang terjejas akibat gempa bumi itu.

“Semoga Allah memberikan kekuatan dan ketabahan kepada mereka,” katanya dalam status berkenaan.

Perdana Menteri turut memaklumkan rakyat Malaysia di sana dalam keadaan selamat dan kerajaan akan terus memantau situasi mereka.

Gempa bumi terburuk melanda Maghribi telah mengorbankan lebih 2,000 mangsa, kata pihak berkuasa negara berkenaan hari ini.

Gempa bumi dengan magnitud 6.8 pada lewat Jumaat itu melanda kawasan pergunungan yang jaraknya 72 kilometer di barat daya bandar pelancongan Marrakesh.

Anggota tentera dan perkhidmatan kecemasan bergegas untuk ke kampung terjejas dengan ramai mangsa dikhuatiri masih terperangkap.
Pihak berkuasa negara itu juga telah mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari.

Palang Merah turut memberi amaran tempoh masa bertahun-tahun diperlukan untuk membaiki kerosakan akibat bencana berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com