Friday, 3, May, 2024
Utama Negeri Program MBA UUM nombor satu terbaik Malaysia, ke-28 Asia

Program MBA UUM nombor satu terbaik Malaysia, ke-28 Asia

oleh Ammar Haziq

SINTOK: Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universiti Utara Malaysia (UUM) diiktiraf sebagai program nombor satu dalam kalangan universiti di Malaysia dalam indikator Keusahawanan & Pencapaian Alumni.

Dalam penarafan QS Global MBA Rankings 2024 yang dikeluarkan semalam, indikator Kepelbagaian Negara dan Kesaksamaan Gender Pelajar & Staf juga meletakkan program MBA di UUM pada kedudukan terbaik berbanding universiti lain dalam negara ini.

Malah, di peringkat Asia, UUM menduduki tempat nombor 28 dengan berada dalam kelompok 151-200 di dunia, berbanding 201-250 pada edisi sebelum ini.

Penarafan ini berdasarkan kepada lima indikator yang ditetapkan iaitu ‘class and faculty diversity’, ‘entrepreneurship & alumni outcomes’, ‘return on investment’, ‘thought leadership’ dan ’employability’.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, dalam tempoh tiga tahun dari 2021, program MBA UUM berjaya membuat lonjakan melebihi 50 anak tangga sehingga tersenarai dalam kedudukan 151-200 program Global MBA terbaik dunia.

Menurutnya, kejayaan ini telah didorong oleh keberkesanan pelaksanaan Pelan Strategik UUM serta peningkatan dari pelbagai aspek termasuk kebolehpasaran graduan, kepimpinan dan pulangan pelaburan (ROI).

“Selain itu, peningkatan ketara dalam semua indikator turut mengukuhkan lagi reputasi program MBA UUM sebagai pusat pengajian unggul dalam bidang perniagaan dan pengurusan.

“Setinggi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga UUM atas pencapaian dan komitmen diberikan sehingga kita mampu berdiri seteguh ini di pentas dunia khususnya kepada warga OYAGSB,” katanya.

UUM melalui Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) adalah salah satu pusat pengajian pascasiswazah perniagaan terkemuka di Malaysia dengan tumpuan kepada pendidikan perniagaan yang profesional dan multidisiplin.

OYAGSB menawarkan program termasuk Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBM), Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), Doktor Falsafah (PhD), dan Doktor Pengurusan (D Management).

OYAGSB telah memperoleh akreditasi antarabangsa seperti Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) sejak 2016 dan akreditasi daripada Association of MBAs (AMBA) iaitu akreditasi antarabangsa berpusat di London sejak 2015 dan telah berjaya disambung semula selama lima tahun lagi sehinga Jun 2028.

Program MBA dan DBA menawarkan pelbagai bidang pengkhususan dan telah berjaya menarik minat pemimpin korporat, pegawai atasan kerajaan, pemimpin masyarakat yang menjadi testimoni kepada kualiti pengajian perniagaan dan pengurusan di UUM.

Dr Mohd Foad berkata, pencapaian terbaru itu juga adalah satu pengiktirafan kepada usaha keras UUM dalam meningkatkan mutu pengajaran, penyelidikan dan sumbangan kepada masyarakat.

Menurutnya, reputasi membanggakan ini secara tidak langsung memberi keyakinan kepada bakal pelajar dan pelajar sedia ada bahawa mereka berada di institusi yang berprestij dan kompetitif di peringkat global.

“Ini adalah hadiah kepada UUM yang bakal menyambut ulang tahun ke-40 pada 2024. Semoga UUM terus berusaha dalam meningkatkan prestasinya dan menjadi semakin diiktiraf di peringkat global dalam bidang pendidikan pengurusan dan penyelidikan,” katanya.

QS Global MBA Rankings 2024 yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan sebanyak 315 program Global MBA seluruh dunia yang disenaraikan bagi penarafan 2024.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com