Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri 10,642 individu ditahan berkaitan dadah di Kedah

10,642 individu ditahan berkaitan dadah di Kedah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Polis Kedah menahan seramai 10,642 individu bagi tempoh Januari hingga September tahun ini di Kedah kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, seramai 8,443 individu ditahan berkaitan dengan permintaan bahan terlarang itu manakala selebihnya iaitu 2,199 lagi terbabit dengan bekalan dadah.

Katanya, seramai 668 individu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati.

“Seramai 349 pesalah telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952 yang melibatkan penagih berulang.

“Pelbagai operasi telah dilaksanakan bagi memberkas mereka ini antaranya Ops Tapis Khas Semalaysia empat kali, Ops Tapis Khas Kedah 14 kali dan Ops Tapis Khas Daerah sebanyak 29 kali,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, pada Khamis.

Tambahnya, seramai 59 individu telah ditahan mengikut undang-undang pencegahan di bawah Seksyen 3(1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Nilai perlucuthakan harta bagi kes-kes narkotik di Kedah pula berjumlah RM3.11 juta,” katanya.

Dalam pada itu katanya, lebih 100 kilogram barang kes dadah bernilai kira-kira RM355,000 dilupuskan.

Menurutnya, barang kes yang dimusnahkan itu melibatkan 2,687 kertas siasatan yang telah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman antara 2014 hingga 2022.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com