Wednesday, 1, May, 2024
Utama Nasional Anwar bertemu syarikat gergasi teknologi di San Francisco

Anwar bertemu syarikat gergasi teknologi di San Francisco

oleh Ammar Haziq

SAN FRANCISCO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi teknologi seperti Google, Enovix Cooperation, Microsoft dan TikTok, di sini.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat besar yang telah memberi pengakuan akan melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran,” katanya.

Anwar berkata, sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas merupakan antara faktor penting yang menarik minat syarikat terbabit untuk melabur di Malaysia.

“Proses kelulusan juga akan memberi keyakinan kepada mereka. Kepantasan kehadiran pelabur baharu akan memberikan satu rekod baharu kepada Malaysia,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas sesi pertemuan tersebut.

Google diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan, Ketua Pegawai Kewangannya Ruth Porat, Enovix Cooperation diwakili Ketua Pegawai Operasinya Ajay Marathe; Microsoft Asia oleh Presidennya Ahmed Mazhari manakala TikTok oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Shou Zi Chew.

Kawasan San Francisco Bay menjadi tumpuan banyak syarikat Fortune 500 utama untuk bertapak di sini yang mana kebanyakannya adalah firma inovatif dalam pembangunan Kecerdasan Buatan (AI), bioteknologi, perisian, teknologi bersih dan media sosial.

Perdana Menteri, yang juga merupakan Menteri Kewangan turut menerima kunjungan hormat daripada Rakan Pengasas, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah TPG, Jim Coulter. TPG merupakan syarikat pengurusan aset alternatif utama global.

Anwar tiba di sini pada Isnin (13 Nov) bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM) dari 14-17 Nov, yang merupakan lawatan sulung beliau bagi mesyuarat Kerjasama Asia Pasifik (APEC) sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil; Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta para pegawai kanan kerajaan yang lain.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com