Tuesday, 30, April, 2024
Utama Nasional Jawatankuasa khas perkasa Mahkamah Syariah ditubuhkan

Jawatankuasa khas perkasa Mahkamah Syariah ditubuhkan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja dalam usaha untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan meneliti dan berbincang dengan mufti serta semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Perdana Menteri berkata Majlis Raja-Raja juga berminat dan memberi perkenan supaya jawatankuasa itu melakukan kajian dalam meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah terhadap umat Islam dan pada masa sama tidak memberi kesan ke atas golongan bukan Islam.

“Setakat ini nama-nama (individu yang) menganggotai jawatankuasa khas ini sudah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan prosesnya mereka akan dan mesti berbincang dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Kerajaan Negeri sebelum apa-apa perkara dimuktamadkan.

“Ada kaedah perlu dibincangkan kerana ada negeri agak keras, kurang setuju kalau kita langgar prinsip-prinsip yang disebutkan, namun apa sahaja cadangan jawatankuasa ini nanti, haruslah dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja,” kata beliau pada Waktu-waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com