Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Rakyat minoriti mana dibom, anak kecil dibunuh, tanah di rampas?

Rakyat minoriti mana dibom, anak kecil dibunuh, tanah di rampas?

oleh Ammar Haziq

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kekesalannya terhadap kenyataan segelintir pihak yang menyifatkan pendiriannya terhadap isu Palestin di hadapan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan memberikan kesan kepada negara ini.

Anwar berkata, apa yang disampaikannya adalah melibatkan nilai kemanusiaan selaras dengan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“(Kemudian) ada suara sumbang, apa dikatakan Anwar ini akan merisikokan ekonomi dan negara dengan di sini pun ada rakyat minoriti tidak dibela.

“Saya kesal dengan pandangan sedemikian. Rakyat minoriti mana yang dibom, anak kecil mana dibunuh ramai, tanah mana yang dirampas dan rumah dirobohkan. Jadi tiada salahnya kita katakan isunya kemanusiaan.

“Bila saya sebut sebegitu, saya diserang. (Kenyataan saya) dipusing lagi. Saya sebagai tetamu Joe Biden, untuk mencari kekuatan menyampaikan yang benar. Kalau tak terima kasih pun, janganlah kutuk lagi,” katanya pada majlis di sini, hari ini.

Sebelum ini, Anwar menggunakan setiap ruang pada sidang akhir Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat dalam membangkitkan isu penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin.

Tegas Anwar, beliau boleh mencari jalan selamat dengan bercakap dengan baik dan diplomatik bagi mencari penyelesaian baik namun memilih untuk berani bercakap benar meskipun tidak disenangi.

“Saya tiada pilihan. Di pemikiran, saya kenang ibu, bayi, rumah, hospital (di Palestin). Dalam 32 juta rakyat (Malaysia), tidak mudah seorang nak cakap depan Presiden Amerika Syarikat.

“Kita walaupun kecil dan tidak mempunyai pasukan ketenteraan Amerika Syarikat, tetapi kita ada maruah sebagai negara merdeka dan berdaulat dan kita ada nilai kemanusian. Saya sebut, hentikan pembunuhan kerana menangguh satu hari maknanya ada lagi rakyat (Palestin) terkorban,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com