Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional ‘Kamelia’ Ramli Sarip tutup Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM

‘Kamelia’ Ramli Sarip tutup Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM

oleh Ammar Haziq

SINTOK: Lagu Kamelia nyanyian Datuk Ramli Sarip menutup tirai Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM), petang semalam.

Beliau membuat kejutan pada sesi kesembilan yang meraikan 768 graduan program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) yang hadir di Dewan Mu’adzam Shah itu.

Kehadiran beliau di tengah-tengah dewan bersama Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mendapat tepukan gemuruh dan sorakan.

Momen indah turut tercipta apabila graduan Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif iaitu Maulana AF, Tomok dan Haziq AF tampil membuat persembahan pada sesi istirahat sejenak.

Dr. Mohd Foad merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat membuat ‘kejutan’ itu bagi meraikan para graduan.

Menurutnya, sepanjang lima hari majlis konvokesyen berlangsung, banyak kenangan terindah dicipta bukan sahaja graduan, malahan keluarga, pensyarah dan seluruh tenaga kerja di belakang tabir majlis ini.

“Saya berterima kasih kepada warga UUM sama ada staf akademik, pentadbiran dan juga pelajar yang bertungkus-lumus menjayakan Majlis Konvokesyen Ke-36 ini demi meraikan graduan.

“Kekalkan momentum ini untuk majlis konvokesyen akan datang dan kepada graduan, teruskan mencipta kegemilangan dan kejayaan mengharumkan nama UUM tercinta ini,” ujarnya.

Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM yang bermula pada 19 hingga 23 November ini telah meraikan seramai 5,738 graduan dari pelbagai program pengajian.

Turut memeriahkan lagi sambutan majlis ini dengan penganjuran Pesta Konvokesyen (PESKON) yang berlangsung mulai 17 November lalu dan akan berakhir pada Sabtu ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com