Tuesday, 7, May, 2024
Utama Nasional PM sedih terima berita duka pemergian peguam Sulaiman

PM sedih terima berita duka pemergian peguam Sulaiman

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi kesedihan sebaik menerima berita duka pemergian bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Sulaiman Abdullah ke rahmahtullah semalam.

Dalam hantaran di media sosial beliau hari ini, Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham Sulaiman bukan hanya dikenalinya sebagai seorang peguam semata-mata.

Sebaliknya, Sulaiman juga digambarkan Anwar sebagai sahabat akrab yang setia mendampingi beliau dan keluarga khususnya di tahun-tahun Perdana Menteri melalui pengalaman gelap dan getir.

mantan Presiden Majlis Peguam Datuk Sulaiman Abdullah telah meninggal dunia semalam.

“Beliau tidak hanya seorang peguam, malah juga seorang sahabat yang akrab di mana beliau bersama saya dan keluarga di tahun-tahun lampau yang gelap dan getir.

“Fikrah dan nurani beliau yang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia tidak dapat disangkal sesiapa. Saya amat terkesan saat menerima berita ini tatkala masih di Tokyo untuk lawatan kerja,” katanya.

Dalam hantaran sama, Anwar menitipkan doa semoga keluarga Sulaiman diberi kecekalan yang ampuh selain diampun segala dosanya dan roh Allahyarham diberi tempat yang istimewa di sisi Allah SWT.

Allahyarham Sulaiman menghembuskan nafas terakhir pada usia 77 tahun pada petang semalam.

Berita pemergian peguam ternama tanah air itu disahkan oleh anak lelakinya pelakon dan penulis drama Huzir Sulaiman.

Sebagai peguam, Allahyarham banyak terbabit dalam pelbagai kes berprofil tinggi termasuk mewakili Perdana Menteri Anwar.

Beliau juga dilantik oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas pada 2018 sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait penyelewengan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com