Monday, 29, April, 2024
Utama Politik UMNO perlu turun padang beri penjelasan

UMNO perlu turun padang beri penjelasan

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati UMNO untuk kerap turun padang bertemu dengan ahli akar umbi dan rakyat untuk memberi penjelasan berkenaan beberapa isu yang membelenggu parti itu terutama mengenai hubungan baik dengan DAP.

Beliau yang juga Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata perkara itu perlu dilakukan jika UMNO mahu memulihkan parti itu yang kini dilihat sokongan yang diterimanya semakin merosot.

“Dia bukan benci UMNO tetapi di kalangan penyokong UMNO, dia kata UMNO ni telah keluar landasan kerana kerjasama dengan DAP.

Sentimen menentang DAP memang kukuh dan kuat di kalangan saya kira orang-orang Melayu.

UMNO ni masalah dia kerana baik dengan DAP dan isu ni dia kena jelaskan kerana DAP itu mewakili majoriti etnik Cina,” katanya pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang diajukan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkenaan adakah PH masih memerlukan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 memandangkan sokongan terhadap parti itu dilihat semakin merosot.

Anwar berkata hubungan parti-parti di dalam PH dengan UMNO adalah amat baik pada masa ini.

“Dengan umur saya sekarang ni, saya tidak senang dengan apa-apa kegiatan pengkhianatan. Saya yakin dengan kepimpinannya, mereka UMNO memberikan sokongan yang kuat dan hubungan kerja juga sangat baik.

Kalau UMNO turun ke bawah sepertimana mereka lakukan sekarang, saya yakin dia dapat dipulihkan dan sekarang ada petanda-petanda begitu,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com