Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional PM minta laporan projek atasi masalah air di UMS dikemukakan

PM minta laporan projek atasi masalah air di UMS dikemukakan

oleh Ammar Haziq

Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu laporan penelitian dikemuka berkaitan peruntukan segera bernilai RM3 juta yang diberi kerajaan tahun lalu bagi mengatasi masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Perdana Menteri berkata, beliau tersinggung dengan laporan mengenai sekumpulan pelajar di universiti berkenaan yang mengadu tidak mandi disebabkan ketiadaan bekalan air.

“Tahun lalu saya sampai ke sana. Saya dengar resahan dan saya minta pengesahan daripada Naib Canselor. Saya luluskan (peruntukan), saya tidak mengerti sama ada mungkin projek itu ambil masa.

“Saya tidak mahu membuat keputusan menghukum seperti sesetengah ustaz yang cepat menghukum.

“Cuma, saya nak minta laporan teliti apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera untuk selesaikan masalah air di UMS,” katanya berucap pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini hari ini.

Kata beliau, laporan sama juga perlu dikemuka membabitkan isu masalah bekalan air yang turut berlaku di sebuah kem tentera di Sabah.

“Sebelum itu (mengunjungi UMS), saya juga pergi ke kem tentera yang turut menghadapi masalah sama. Jadi saya minta juga (laporan dikemuka),” katanya.

Tahun lalu, Anwar bersetuju memberikan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada UMS bagi menyelesaikan masalah air di kampus itu.

Semalam pula, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi mengatasi masalah bekalan air dihadapi warga kampusnya.

Menurut Zambry, pihak UMS memerlukan sedikit peruntukan tambahan khususnya untuk kawasan yang mempunyai sumber air tetapi air itu tidak boleh dipam naik ke kawasan tinggi di asrama berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com