Wednesday, 1, May, 2024
Utama Nasional Dasar Kemakmuran Bersama lemah kerana negara tumpu acuan Barat

Dasar Kemakmuran Bersama lemah kerana negara tumpu acuan Barat

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang digagaskan semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mempunyai kelemahan yang menuntut kepada anjakan perlu diambil. 

Sebaliknya beliau berkata, dasar Ekonomi Madani yang dibawa Kerajaan Perpaduan lebih menekankan kepada kerangka serta masalah semasa berbanding dasar terdahulu yang dilihat lebih menumpu kepada agenda dirangka dari acuan Barat.

“Sebab itulah mengapa kerajaan buat anjakan yang berteraskan nilai. Dalam WKB 2030, tidak ditekankan soal nilai, tidak ditekankan dengan kuat soal tata kelola, tidak ditekankan masalah tempatan, apa yang berlaku di Malaysia.

“Itu hanya kerangka universal, global…ya, ada baiknya (WKB 2030), tetapi kelemahannya ia tidak menekankan masalah semasa. Jadi, ini juga termasuk dalam isu kos sara hidup. Ia juga tidak membangkitkan isu umpamanya apakah hutang yang kita warisi, defisit kita warisi kerana perancangan sekarang mesti ambil kira masalah itu.

“Sebab itu, saya masih menekankan bagi Malaysia sekarang dan masa depan, dalam kalangan generasi anak muda bila merangka apa-apa dasar, jangan berpuas hati istilah yang memukau dari acuan Barat, tapi, mesti ada kekuatan untuk memberi takrifan dan nilai tempatan yang berakar kepada agama dan akhlak di negara kita,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Suhaizan Kayat [PH-Pulai] semasa sesi pertanyaan-pertanyaan lisan. 

YouTube player

Mengulas lanjut, Anwar berkata, walaupun Malaysia memanfaatkan pandangan Bank Dunia dalam merangka hala tuju ekonomi negara, namun, wujud kekangan mengenai kefahaman mereka tentang Malaysia mencakupi aspek agama, nilai, corak pemikiran dan ahli ekonomi tempatan. 

“Sepatutnya mana-mana negara, walau kita ambil kira beberapa pandangan pakar antarabangsa termasuk Bank Dunia, jangan hanya menciplak, kemudian menjadikan ia sebagai agenda negara sebagaimana berlaku dalam WKB 2030,” katanya.

Menjawab soalan asal daripada Datuk Seri Hamzah Zainudin [PN-Larut] berkenaan inovasi baharu Ekonomi Madani yang berbeza dengan WKB 2030, Anwar berkata, situasi dan keadaan ketika gagasan yang dilancar itu adalah berbeza dengan semasa.

“Pasca Covid-19 ini, kita harus menerima kenyataan, kita berhadapan keadaan tidak dijangka dan kadang-kadang berlaku dalam keadaan serentak permasalahannya. Oleh itu, kita memikirkan keperluan memperkenal dasar yang selari nilai agama, pemikiran dan permasalahan tempatan.

“Kedua, ia bertunjangkan kemapanan ekonomi dan ketunjangan fizikal serta diselaraskan soal ihsan dan kesepaduan.

“Ketiga, ia mendukung cita-cita yang menyeluruh kepada negara bukan saja ekonomi tetapi soal keterangkuman sosial dan tatakelola,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com