Saturday, 27, April, 2024
Utama Politik Langkah Dubai politik ‘cemas’, pembangkang yang hilang modal – Anwar

Langkah Dubai politik ‘cemas’, pembangkang yang hilang modal – Anwar

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU: Pembangkang dilihat tidak mempunyai kekuatan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan kononnya Kerajaan Perpaduan sudah tumbang yang dimainkan pembangkang juga hanyalah satu propaganda untuk menipu penyokong mereka sendiri agar terus kekal bersemangat.

Beliau turut menegaskan, kerajaan pernah mencabar pembangkang untuk membawa usul tersebut namun sudah lebih setahun, masih juga tidak dibangkitkan mereka.

“Sudah lama dah, dia (pembangkang) tidak bawa (tidak percaya di Parlimen), setahun dah. Hari-hari kita tunggu, tiada. Jadi kita tidak fikir bab itu.

“Saya tidak fikir dia (pembangkang) ada kekuatan untuk bawa ini (usul) selain daripada propaganda untuk menipu penyokong-penyokong dia supaya jangan hilang semangat.

“Saya berbeza pendapat. Tidak mahu hilang semangat, kalau tak boleh cuba bawa perubahan, dia bekerja untuk rakyat. Rakyat yang akan pilih akhirnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Lawatan dan Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Langkah Dubai, Perdana Menteri menegaskan sudah terbukti bahawa langkah itu hanya politik ‘cemas’, digunakan pihak yang sudah kehilangan modal.

“Sekarang dah terbukti bahawa itu hanya politik cemas dalam kalangan yang agak kehilangan modal.

“Saya nasihat jemaah menteri dan pimpinan dan kerajaan umumnya, tumpu untuk bangunkan negara.

“Tahun 2024, fokus kita adalah pembangunan dan keutuhan ekonomi negara,” ujarnya.

Rabu lalu media melaporkan yang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Istana Negara tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

Seri Paduka juga menitahkan beliau dan Kerajaan Madani untuk meneruskan kerja mengurus negara.

Perkara itu antara inti pati sesi menerima menghadap Anwar untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara pada Rabu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com