Sunday, 5, May, 2024
Utama Negeri Empat nelayan ditahan bersama tiga bot fiber, 164 bubu naga turut dirampas

Empat nelayan ditahan bersama tiga bot fiber, 164 bubu naga turut dirampas

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Empat nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah dalam satu operasi khas bersama Jabatan Perikanan Malaysia iaitu OP MARDOF kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan iaitu bubu kambang atau dikenali sebagai bubu naga, pada petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, kesemua lelaki ditahan ketika sedang mengangkat bubu naga berkenaan di tiga lokasi berbeza pada kedudukan 6.7 batu nautika barat daya Tanjung Dawai.

Pemeriksaan lanjut ke atas tiga bot berkenaan menemukan 43 set bubu naga yang baru sahaja diangkat ke atas bot.

Keempat-empat lelaki yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 51 tahun, hasil tangkapan, bubu naga, peralatan dan tiga bot beserta enjin yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM 124,680 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 8(a) dan 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen yang sah dan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.

Dalam kes berasingan, 121 unit bubu naga telah dirampas di lima lokasi berasingan di pesisir Teluk Sungai Pial setelah pemantauan lanjut dilaksanakan oleh kru bot ronda PERKASA 1224.

Bubu kambang atau bubu naga telah diharamkan penggunaannya berikutan sifatnya yang tidak selektif dengan memerangkap serta mengancam hidupan laut yang lebih kecil dan benih udang selain merosakkan ekosistem dasar laut negara seterusnya boleh mengancam sumber perikanan negara pada masa akan datang.

Nelayan dalam pada itu diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. Pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Pihak Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com