Monday, 29, April, 2024
Utama Politik Sejarah baru bakal terukir, ADUN Kedah menghadap sultan hari ini

Sejarah baru bakal terukir, ADUN Kedah menghadap sultan hari ini

oleh Wartawan Kedah Gazette
Wisma Darulaman, Alor Setar.

ALOR SETAR – Seramai 35 daripada 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah dijadual menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sesi pertemuan itu diadakan dalam dua sesi, iaitu sesi pagi yang bermula pukul 10 pagi dan sesi petang pula bermula pukul 3 petang.

Menurut sumber, difahamkan pertemuan sesi pagi melibatkan ADUN Pas, Barisan Nasional (BN) dan bekas ADUN PKR.

Sementara sisi petang pula ADUN Bersatu, Amanah, PKR dan DAP pada sesi petang.

Majlis menghadap itu adalah bagi menyelesaikan kemelut politik Kedah apabila Pas mendakwa mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan negeri dengan sokongan ADUN BN, bekas ADUN PKR dan beberapa ADUN Bersatu.

Sumber berkenaan juga memberitahu, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak terlibat dalam majlis menghadap itu.

Mukhriz Mahathir

Sebaliknya, Mukhriz yang juga ADUN Jitra difahamkan akan menghadap Sultan Kedah pada Sabtu.

Pada Selasa lalu, ADUN Jeneri yang juga Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhamad Sanusi Md Nor mengumumkan seramai 23 ADUN Kedah telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan Mukhriz dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Muhamad Sanusi Md Nor

Sehubungan dengan itu, Pas akan mengetuai usaha membentuk kerajaan negeri yang baharu dengan Muhamad Sanusi disebut-sebut bakal Menteri Besar yang baharu.

Difahamkan turut menjadi tumpuan hari ini adalah sokongan dua ADUN Bersatu iaitu Mohd Firdaus Ahmad (Kuah) dan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak).

Mereka sebelum ini didakwa antara ADUN yang tidak lagi menyokong Mukhriz.

Bagaimanapun Mohd Firdaus semalam telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur sementara Dr Ku Abdul Rahman mengambil pendekatan mendiamkan diri berhubung perkara ini.

Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail

Sama ada mereka berdua masih menyokong pembentukan kerajaan baharu atau kembali menyokong Mukhriz akan diketahui hari ini.

Sumber berkenaan menegaskan walaupun Firdaus dan Dr Ku Abdul Rahman berpatah arah kembali menyokong Mukhriz, Perikatan Nasional mempunyai majoriti yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.

PN Kedah masih mempunyai 21 kerusi sekiranya mereka berdua kembali menyokong Mukhriz dan majoriti sudah dimiliki.

Katanya, daripada 21 kerusi berkenaan, 15 ADUN Pas, masing-masing dua daripada ADUN BN dan bekas ADUN PKR serta dua lagi ADUN Bersatu iaitu Juhari Bulat (Ayer Hangat) dan Halimatan Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam). – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com