Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Dua pemancing terkandas, bot dipukul ombak

Dua pemancing terkandas, bot dipukul ombak

oleh Ammar Haziq

Teks/Foto APM

YAN, 11 Oktober – Dua pemancing berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki dipukul ombak dan terkandas di kawasan pantai Pulau Telor Yan, Kedah lewat petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal bin Ahmad berkata, Maritime Rescue Sub- Centre (MRSC) Langkawi segera melancarkan operasi bantuan aset terhadap kedua-dua pemancing tersebut

Mangsa Chan Yew Ming berusia 47 tahun, dilaporkan keluar memancing bersama rakannya Lee Kim Loon 47 tahun dengan menaiki sebuah bot dari jeti Penang Swimming Club Pulau Pinang pagi semalam.

Dalam kejadian petang semalam bot mangsa dipercayai dipukul ombak dan terkandas di kawasan pantai Pulau Telor.

Usaha menyelamat melibatkan sebuah bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( Maritim Malaysia ) yang turut berdepan cabaran kerana kawasan tersebut agak berbatu dan faktor air laut telah surut.

Operasi menyelamat disambung semula pada pagi ini dengan dibantu oleh sebuah bot nelayan tempatan yang turut terlibat membantu menunda bot mangsa.

Kedua-dua pemancing serta bot mereka berjaya diselamatkan pada jam 09.52 pagi. Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan bot mereka juga tidak mengalami sebarang kerosakkan.

Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, membawa Personal Locator Beacon (PLB), maklumkan destinasi anda kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi.

Mahmad Faizal berkata, sebarang aduan dan kes kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian 24 jam MERS atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 047310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com