Saturday, 27, April, 2024
Utama Umum Lelaki maut selepas mendaki bukit, kematian masih menjadi tanda tanya

Lelaki maut selepas mendaki bukit, kematian masih menjadi tanda tanya

oleh admin

SUNGAI PETANI, 11 Sept – Ketika hayatnya, seorang suami dan bapa kepada dua anak, Azlan Ahmad, 45, pernah dijangkiti Covid-19 namun dia sembuh selepas menerima rawatan.

Hari ini, lelaki terbabit yang ditemukan meninggal dunia ketika dalam perjalanan turun selepas mendaki Bukit Haji Yusoff, Kampung Berapit Tikam Batu sekali lagi disahkan positif Covid-19.

Azlan Ahmad, 45, meninggal dunia selepas mendaki Bukit Haji Yusoff, Kampung Berapit Tikam Batu, dekat sini hari ini.

Keputusan itu diketahui hasil ujian saringan yang dijalankan selepas mayat lelaki terbabit di bawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemeriksaan terhadap mayat dilakukan oleh pihak forensik HSAH sebelum proses bedah siasat dilakukan.

“Mayat tiba di HSAH jam 1 tengah hari tadi dan ujian saringan mendapati mangsa positif Covid-19.

“Berikutan itu, mayat akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat bagi mencari punca sebenar kematian lelaki terbabit,” katanya ketika dibubungi.

Dalam kejadian jam 11 pagi hari ini, Azlan yang juga kakitangan di Penang Port seperti biasa keluar rumah awal pagi untuk mendaki bukit berhampiran rumahnya.

Dia yang mengambil kesempatan cuti hari minggu mendaki bukit terbabit jam 7 pagi dan dilihat turun empat jam kemudian.

Namun, ketika berjalan turun, mangsa dilihat rakan pendaki dalam keadaan lemah serta mengadu sukar bernafas dan sakit dada.

Zaidy berkata, rakan pendaki yang juga saksi kejadian itu kemudian turun untuk meminta bantuan.

Orang ramai membantu polis mengusung mayat seorang lelaki, Azlan Ahmad, 45, yang meninggal dunia selepas mendaki Bukit Haji Yusoff, Kampung Berapit Tikam Batu, dekat sini hari ini.

“Anggota polis yang tiba selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu mendapati mangsa sudah terbaring atas tanah di laluan mendaki bukit terbabit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya.

Menurutnya, anak lelaki mangsa dalam keterangannya memberitahu bapanya itu tidak mempunyai penyakit kronik namun pernah disahkan positif Covid-19 ketika masih hidup.

“Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan punca kematian hanya akan diketahui selepas bedah siasat dijalankan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com