Saturday, 27, April, 2024
Utama Politik Calon GTA bakal bertanding guna logo Pejuang pada PRU15

Calon GTA bakal bertanding guna logo Pejuang pada PRU15

oleh Ammar Haziq
Logo parti Pejuang.

ALOR SETAR, 12 Okt. – Kalangan calon yang bertanding mewakil Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bakal menggunakan lambang serta logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Tun Mahathir yang merupakan Pengerusi Penaja GTA berkata, keputusan itu telah dipersetujui secara bersama oleh semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan serta individu perseorangan yang menyokong perjuangan gabungan tersebut.

Menurutnya, gabungan tersebut sebelum ini sememangnya berhasrat untuk menggunakan logo GTA yang memaparkan gambar obor dan api menyala untuk PRU-15 namun terpaksa melupakan hasrat itu kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) belum meluluskannya.

“Saya merasa berbesar hati kerana parti-parti komponen dalam GTA, NGO-NGO serta orang perseorangan yang menyokong perjuangan kita, bersetuju dan bersedia menggunakan lambang serta logo Pejuang dalam PRU ke-15.

“Memang kita mahu guna lambang GTA tetapi kerana pihak RoS belum meluluskan dan masa sudah agak suntuk, maka kita perlu memilih satu logo untuk memperlihatkan kebersamaan kita dalam PRU ini,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman media sosialnya, hari ini.

GTA sebelum ini bercadang untuk menggunakan logo obor dan api menyala dalam PRU-15 namun terpaksa membatalkan hasrat itu disebabkan kesuntukan masa.

Beliau yang juga Pengerusi Pejuang berkata turut menzahirkan harapan agar parti-parti politik terlibat termasuk NGO dan orang perseorangan dapat sama-sama berusaha bagi memastikan kemenangan calon-calon GTA.

“Dengan ini besar harapan saya agar parti Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta NGO dan orang perseorangan akan dapat berusaha bersama-sama memastikan calon-calon GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com