Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Tentera tahan 19 PATI cuba masuk Malaysia guna laluan tidak sah

Tentera tahan 19 PATI cuba masuk Malaysia guna laluan tidak sah

oleh admin

KUBANG PASU – Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sempadan Malaysia Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Tanah Merah, Kelantan semalam, kerana cuba memasuki negara ini menggunakan laluan tidak sah.

Sebahagian daripada PATI yang ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) melalui satu kenyataan memaklumkan, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 3.15 petang semalam dalam kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Dalam siri tangkapan pertama itu katanya, seramai sembilan PATI dikesan dan ditahan dalam kawasan semak di kebun getah berhampiran laluan paip gas.

“Seterusnya pada pukul 6.45 petang, pasukan operasi sekali lagi telah mengesan dan menahan empat individu yang dipercayai dari kumpulan sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 13 individu itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara melalui laluan haram. Kesemua mereka berumur antara 18 hingga 40 tahun terdiri daripada 10 lelaki dan tiga perempuan,” katanya.

Kenyataan itu menambah, tangkapan di Tanah Merah, Kelantan itu pula berlaku di KTJ Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ8 Bgd) kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

“Bertindak dari maklumat perisikan, pasukan operasi berjaya mengesan dan menahan enam PATI warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Turut ditahan, seorang individu warganegara tempatan yang disyaki sebagai tekong darat. Semua yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki berusia antara 18 hingga 64 tahun,” katanya.

Dalam kesemua siri tangkapan dilakukan itu katanya, pihak berwajib turut merampas sebuah kenderaan dan 11 telefon bimbit.

“Selain itu wang tunai dengan nilai keseluruhan lebih RM36,400 turut dirampas. Kesemua PATI ditahan diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Balai Polis Nibong di Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com