Saturday, 27, April, 2024
Utama Politik UMNO sasar menang 8 kerusi Parlimen di Kedah

UMNO sasar menang 8 kerusi Parlimen di Kedah

oleh Ammar Haziq
Othman (dua kanan) pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Dewan Kuala Kerpan, Ayer Hitam di sini, hari ini.

JERLUN, 18 Okt. – Daripada cuma dua yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), UMNO Kedah menyasarkan untuk memenangi enam lagi kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU-15.

Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, majoriti kawasan yang disasarkan untuk dimenangi itu terletak di luar dan pinggir bandar.

Selain itu katanya, Barisan Nasional (BN) juga tampak dilihat mampu untuk menambah dua lagi kerusi bandar iaitu di Parlimen Alor Setar dan Padang Serai, hasil kerja kuat parti-parti komponen.

“Saya rasa UMNO ini ‘tulangnya’ di luar bandar, jadi saya boleh katakan kerusi yang disasarkan itu terletak di kawasan tersebut. Mungkin kita ada peluang kali ini untuk rampas kerusi Parlimen dari parti-parti lain termasuk di Jerlun.

“Kawasan-kawasan lain yang disasarkan itu mungkin turut boleh dijangka oleh orang ramai seperti Kubang Pasu serta Langkawi. Kita letakkan sasaran ini bersandarkan prestasi dan sentimen semasa selain perkhidmatan diberikan wakil rakyat dari parti-parti lain sepanjang lima tahun kebelakangan ini.

“Lagi pun rakyat di banyak kawasan dah mula merindui khidmat BN kepada rakyat. Kita tau benda ini (memenangi enam kawasan) bukan mudah tetapi bersandarkan semangat ditunjukkan jentera serta petugas, insya Allah ada peluang cerah untuk kita dapatkan sekurang-kurangnya lapan kerusi Parlimen di Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Dewan Kuala Kerpan, Ayer Hitam di sini, hari ini.

Dalam PRU-14, UMNO sekadar memenangi dua kerusi iaitu di Padang Terap dan Baling menerusi Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas mengenai peluang UMNO di Jerlun, Othman yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerlun berkata, rata-rata pengundi di situ dilihat telah sedar dengan keadaan semasa.

Katanya, banyak perkara diharapkan dari wakil rakyat sedia ada, tidak tercapai termasuk dalam perkara asas berkaitan bekalan air serta bantuan segera di masa musibah atau malapetaka.

Dalam PRU-14, Othman tewas kepada Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di Parlimen Jerlun.

Beliau hanya memperolehi 12,413 undi berbanding 18,695 yang diperolehi Mukhriz. Seorang lagi calon iaitu Abd. Ghani Ahmad dari Pas memperolehi 12,829 undi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com