Monday, 13, May, 2024
Utama Politik Isu mohon maaf DAP : GPS minta selesai cara baik

Isu mohon maaf DAP : GPS minta selesai cara baik

oleh Ammar Haziq
Fadillah hadir taklimat Projek ADTEC dan Program Sembang Warung di Kampung Charok Gorok, Baling pada hari Ini.

BALING – Semua pihak yang terlibat membabitkan isu permohonan maaf DAP diminta untuk menyelesaikan perkara itu dengan sebaiknya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara utama yang perlu ditumpukan ketika ini adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan berhenti bermain politik semata-mata.

Menurut Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu, hal tersebut bagi merealisasikan hasrat memulihkan ekonomi negara selain mensejahterakan rakyat termasuk memastikan situasi politik negara berada dalam keadaan yang stabil.

“Apa yang penting, saya mengharapkan semua kita bersamalah, untuk pastikan supaya dalam apa bentuk sekalipun, kita perlu pastikan politik stabil, yang itu lebih utama daripada melihat kepada PRN sahaja (semata-mata), yang utama saya melihat bahawa politik (ini) kena stabil. 

“Berkenaan permohonan maaf itu saya serahkan kepada parti masing-masing tetapi apa pun saya katakan berhentilah berpolitik dahulu, tumpukan kepada perkhidmatan untuk kita pastikan pemulihan ekonomi negara dapat dilaksanakan dan bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat Projek ADTEC dan Program Sembang Warung di Kampung Charok Gorok, dekat sini pada hari Ini.

Fadillah mengulas kenyataan Pemuda UMNO memberi jaminan kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan berjalan seperti biasa walaupun sayap itu lantang menuntut DAP memohon maaf sebelum ini.

Walaubagaimanapun Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh menyerahkan kepada kebijaksanaan barisan kepimpinan DAP sama ada mahu memenuhi tuntutan berkenaan atau sebaliknya, termasuk memikirkan segala kebaikan serta keburukan terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya DAP boleh membuat permohonan maaf dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), mengapa tidak boleh dilakukan perkara yang sama terhadap UMNO.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com