Monday, 29, April, 2024
Utama Politik Selangor kubu terpenting Kerajaan Perpaduan

Selangor kubu terpenting Kerajaan Perpaduan

oleh Ammar Haziq
Anwar hadir sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, pada Isnin.

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Selangor menjadi kubu kuat Kerajaan Perpaduan berikutan faktor prestasi dan komitmen negeri itu yang menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Perdana Menteri berkata Selangor mencatatan prestasi baik selepas Sarawak namun ia perlu ditambah baik dan berterusan untuk dijadikan contoh.

“Penjawat awam punya peranan kena terangkan bukan kerana sentimen atau jaminan upah, tetapi kerana anda yakin (Selangor) ini negeri yang mencatat kemajuan yang terbaik, selain daripada Sarawak.

“Walaupun prestasi Selangor sudah baik, ia mesti ditambah baik untuk dijadikan contoh. Bukan contoh minum air selut, contoh untuk rakyat itu penting. Ada juga catuan air di Selangor tetapi lebih baik berbanding Kedah Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Anwar turut memberikan mesej yang jelas kepada penjawat awam berhubung tatakelola yang baik termasuk usaha untuk menepis amalan rasuah.

“Saya tidak mahu tolak ansur, kerana pemimpin negara lalu yang rosak kerana roboh dan tamak haloba curi duit rakyat.

“Jika ada projek yang besar, saya lihat penjawat awam kita berkemampuan tidak perlu lagi melalui konsultan, bila ada projek ratusan juta ringgit, masuk tender tiada lagi perbincangan atau rundingan tepi,” katanya

Anwar berkata kuasa yang diperolehi ketika ini bertujuan untuk menyelamatkan negara daripada perbuatan salah laku sesetengah pihak selain usaha untuk mengembalikan semula wang rakyat hasil keuntungan negara.

Mengulas mengenai kenaikan gaji penjawat awam, ekonomi negara katanya telah menunjukkan kedudukan yang semakin positif dan jika ia berkekalan maka perkara itu bukanlah satu perkara yang mustahil.

“Penjawat awam menjadi tunggak kepada kejayaan negara. Sebaik sahaja ekonomi pulih sedikit, sekarang pertumbuhan lebih baik daripada China, Indonesia dan Singapura. Kalau ini dapat diteruskan saya akan naikkan gaji dan elaun penjawat awam,”katanya.

Matlamat itu tambahnya lagi hanya boleh dicapai sekiranya ia selari dengan prestasi penjawat awam yang cemerlang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com