Sunday, 28, April, 2024
Utama Politik Anwar harap rakyat Selangor sokong calon Kerajaan Perpaduan

Anwar harap rakyat Selangor sokong calon Kerajaan Perpaduan

oleh Ammar Haziq

Kuala Lumpur – Rakyat Selangor diharap dapat memberi sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan, tanpa mengira pencalonan itu daripada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri, 12 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PRN yang bakal dilalui enam negeri termasuk Selangor adalah medan kekuatan, dokongan kepada PH yang dinaungi PKR, AMANAH serta DAP, manakala BN adalah payung kepada Umno selepas MIC dan MCA mengumumkan tidak bertanding.

“Sebagai contoh, BN mengumumkan (Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk) Megat (Zulkarnain Omardin) untuk bertanding kerusi Dewan Undangan (Dun) Gombak Setia, jadi kita mahu semua bersatu mengundi kerana beliau adalah calon pimpinan BN.

“Justeru, apabila diumumkan nama, tidak kira calon itu daripada PKR, Amanah atau Umno rakyat perlu sokong dan ini sebagai isyarat kepada pembangkang rakyat menolak cara berpolitik yang tidak menguntungkan.

“Dengan sokongan dan dokongan penduduk Hulu Klang serta seluruh rakyat Selangor, kita perlu menyampaikan mesej jelas kepada pembangkang yang perbuatan mencerca dan memaki hamun lawan bukan lagi pilihan.

“Sebaliknya kita mahu membuktikan kerajaan sedaya upaya berusaha meningkat upaya rakyat sebagaimana Selangor diberi sokongan dan dipilih walau siapapun calon yang pimpinan putuskan bertanding,” katanya ketika berucap pada Program Kita Hulu Kelang PMX bersama Penduduk Hulu Kelang di Padang Rumah Pangsa PKNS AU2, Taman Keramat di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar yang juga Pengerusi PH, turut mengulangi komitmen dan tekad membebaskan negara daripada belenggu rasuah dengan tidak berkompromi walau siapa pun pelakunya.

Perdana Menteri berkata, walaupun pembangkang mengaitkan dengan pelbagai dakwaan negatif namun apabila dicabar menunjukkan bukti mereka tidak dapat membuktikan kerajaan menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri.

“Alhamdulillah, hampir lapan bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, tiada satu kes rasuah membabitkan menteri Kabinet dilaporkan dan ini disahkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan, antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com