Saturday, 27, April, 2024
Utama Politik Saya nak selesaikan tugas yang tergendala di Pedu – Mahdzir

Saya nak selesaikan tugas yang tergendala di Pedu – Mahdzir

oleh Ammar Haziq

PADANG TERAP – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid bertekad untuk menyambung semula tugasan yang tergendala di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu setelah tiada lagi wakil rakyat BN dalam kawasan Parlimen ini sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Menurut calon BN DUN Pedu itu, rata-rata penduduk ditemui dahagakan perkhidmatan dari seorang wakil rakyat terutamanya berkaitan sentuhan yang mampu membantu mereka dalam pelbagai urusan kehidupan.

Katanya, perkhidmatan dimahukan merangkumi pelbagai bidang antaranya berkaitan pendidikan anak-anak serta pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut.

“Sebagai wakil rakyat kena carilah mana-mana agensi atau tempat yang memiliki saluran untuk membantu rakyat. Sebagai contoh apabila mereka perlukan bantuan ketika anak-anak mula bersekolah atau mahu masuk ke universiti, ke mana mereka ini boleh disalurkan untuk mendapatkan bantuan?

“Begitu juga untuk anak-anak yatim contohnya, kalau mereka memiliki keputusan baik, bagaimana caranya untuk membuka laluan bagi membolehkan mereka menyambung pelajaran?

“Kesinambungan itulah yang hilang selama ini. Jadi saya menyeru penduduk di Pedu supaya memberi saya peluang untuk menyambung semula titik-titik yang hilang itu untuk rakyat,”

Beliau berkata demikian kepada media selepas bersarapan pagi bersama penduduk Kampung Kubang Kenyeng dekat Pedu di sini, hari ini.

Pada PRU14, Mahdzir memenangi kerusi Parlimen di Padang Terap walaupun dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pedu dan Kuala Nerang terlepas ke tangan Pas.

Keberadaan wakil rakyat BN dalam kawasan itu bagaimanapun hilang dalam PRU15 apabila beliau turut tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Nurul Amin Hamid dengan majoriti 10,959 undi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com