Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Langgar syarat sah lesen, bot nelayan tempatan ditahan

Langgar syarat sah lesen, bot nelayan tempatan ditahan

oleh Ammar Haziq

LANGGAR SYARAT SAH LESEN, BOT NELAYAN TEMPATAN DITAHAN

LANGKAWI- Sebuah bot nelayan tempatan kelas C telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atas kesalahan lesen bot tamat tempoh di sini petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, Kapal Maritim (KM) Sugut yang sedang melakukan Op Aman dan Op Tiris di kawasan perairan Pulau Langkawi telah menahan bot nelayan itu pada kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika dari Timur Tanjung Pulau Chorong.

Hasil pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong bersama lima orang awak-awak. Siasatan lanjut turut mendapati dua daripada enam orang kru bot terbabit adalah warga Thailand yang tidak memiliki pas lawatan kerja sementara. Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 36 hingga 54 tahun.

Bot dan kru telah ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu lesen telah tamat tempoh dan kru warga asing tidak memiliki pas lawatan kerja sementara.

Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang termasuk aktiviti perikanan tanpa permit, pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia dan salah laku yang lain.

Komuniti maritim setempat juga perlu bekerjasama memantau perkara ini dan melaporkan kepada Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 demi memastikan perairan negeri sentiasa aman dan selamat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com