Friday, 17, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan lulus Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan ECRL

Kerajaan lulus Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan ECRL

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menerusi Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-42 hari ini bersetuju meluluskan Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), atau dikenali sebagai PeGTaECRL.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dokumen itu akan memacu pembangunan di sekitar 20 stesen dan sepanjang laluan ECRL yang telah dikenal pasti.

“MPFN menjadi platform bagi Kerajaan Persekutuan berbincang dengan kerajaan negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu turut bersetuju dengan penambahbaikan kepada proses kelulusan dalam pembinaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektik melalui Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan.

Perdana Menteri juga berkata ia selari dengan transformasi industri automatif negara ke arah peralihan masa depan yang lebih mesra alam dan mampan.

“Ketersediaan infastruktur pengecasan amat penting dalam transformasi sektor automotif ini,” katanya.

Anwar berkata MPFN Ke-42 juga bersetuju dengan keperluan pemakaian Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara oleh Agensi Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri serta penterjemahan cadangannya dalam dokumen rancangan tempatan untuk kawalan perancangan dan guna tanah peringkat tempatan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com