Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Ular sawa batik 140 kg telan anak kambing

Ular sawa batik 140 kg telan anak kambing

oleh Ammar Haziq

KUBANG PASU – Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kubang Pasu berjaya menangkap seekor ular sawa batik di Batu 7 Kampung Guar Batu Hitam, di sini, pada Khamis.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, anggotanya sebelum itu terpaksa bergelut selama 25 minit sebelum berjaya menangkapnya yang dianggarkan berat 140 kilogram (kg).

Menurutnya, tangkapan ular sawa itu dilakukan selepas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Kubang Pasu menerima panggilan pada jam 8.23 pagi daripada orang awam yang menjumpai reptilia itu di sebuah kandang kambing.

“Seramai empat anggota APM Kubang Pasu telah digerakkan dan tiba di lokasi kejadian sebelum melihat ular sawa batik telah menelan seekor kambing.

“Ular sawa batik dengan anggaran tujuh meter berada di kandang kambing berhampiran rumah penduduk. Namun ketika menangkap ular itu bertindak agresif dan anggota APM terpaksa bergelut dengan ular terbabit selama 25 minit sebelum ular terbabit berjaya ditangkap.

“Ular sawa bersama bangkai seekor kambing di dalam perutnya itu dibawa balik ke PKOD Kubang Pasu,” katanya.

Mohd Adenin memaklumkan, ular sawa yang ditangkap kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Anggota APM Kubang Pasu menangkap seekor ular sawa batik di sebuah kandang kambing di Batu 7 Kampung Guar Batu Hitam, di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com