Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Bot kelas C ditahan langgar syarat lesen

Bot kelas C ditahan langgar syarat lesen

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH – Sebuah bot pukat tunda nelayan tempatan Kelas C bersama lima kru warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah dalam satu rondaan operasi Op Aman di posisi sekitar 5.0 batu nautika Barat Daya muara Kuala Kedah pada pukul 9.00 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, bot nelayan terbabit ditahan ketika sedang bersauh semasa bot ronda Maritim Malaysia melakukan rondaan berkala di sekitar perairan Kuala Kedah.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot kelas C itu, anggota mendapati semua kru dan tekong memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun mereka didapati telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu saiz mata pukat di bahagian keroncong kurang daripada 38 milimeter.

Sehubungan itu, kesemua mereka ditahan dan bot serta hasil tangkapan dianggarkan sebanyak 4.3 tan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, pemilik bot akan didakwa di mahkamah atas kesalahan menggunakan mata pukat tidak mengikuti spesifikasi atau peralatan yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara. Pengusaha bot nelayan turut diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

Pihak Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan maklumat bagi sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut. Salurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com