Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Penubuhan Pusat Rujukan Haji dimuktamadkan 2024

Penubuhan Pusat Rujukan Haji dimuktamadkan 2024

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Pusat Rujukan Haji (RAJIH) dijangka dimuktamadkan pada tahun 2024 selepas perbincangan dan pertemuan Tabung Haji (TH) dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Pusat Kecemerlangan atau Centre of Excellence TH ini dijangka mencapai keputusan muktamad selepas beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan pengurusan tiga buah universiti diadakan.

Katanya, pihak TH telah menawarkan diri kepada beberapa buah universiti tempatan dan sehingga kini tiga universiti telah memberi persetujuan untuk berbincang dan menyediakan model untuk penubuhan Pusat Kecemerlangan ini.

“Pastinya hasil dari pertemuan, taklimat dan perbincangan yang diadakan ini kami dapat membawanya ke pihak pengurusan TH untuk tindakan lanjut seperti Rangka Tindakan (Blueprint) yang dilancarkan bagi tahun 2021-2025,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis pertemuan dengan pihak Pusat pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) di bilik Mesyuarat bangunan Jabatan Canselori UUM.

Dalam kunjungan ini beliau mengadakan pertemuan dan mendengar taklimat mengenai Cadangan Penubuhan TH-Centre of Excellence (RAJIH) yang di Pengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof Dr Russayani Ismail.

Dalam pertemuan ini Penyelidik dan Tenaga Pakar UUM, Prof Madya Dr Mohd Farihal Osman membentang dan menerangkan mengenai Idea konsep dan makanisma RAJIH iaitu inspirasi, bentuk kerjasama, cadangan kewangan, jenis perbelanjaan, fungsi, Pusat Rujukan Haji Malaysia, memperkasa TH dan juga prospek RAJIH masa hadapan.

Moga cadangan yang diketengahkan oleh pihak IBS untuk menjadikan RAJIH sebagai Pusat Rujukan Haji Terkemuka di Dunia melalui kerjasama strategik antara TH dan UUM dalam penyelidikan, perundingan, inovasi, kepimpinan dan amalan terbaik ini akan mengangkat nama UUM dimata dunia.

Sementara itu Dr Russayani berkata, dengan kepakaran di kalangan pensyarah dan pengalaman Tabung Haji, diharap penubuhan RAJIH ini akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

“Saya melihat penubuhan ini akan memberi satu lagi sejarah manis kerana UUM akan menyambut usia 40 tahun pada tahun 2024,”ujar beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com