Tuesday, 30, April, 2024
Utama Sukan Tiga emas jadi sasaran angkat berat Kedah di Sukma 2024

Tiga emas jadi sasaran angkat berat Kedah di Sukma 2024

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Sekurang-kurangnya tiga pingat emas jadi sasaran Persatuan Angkat Berat Kedah (PABK) pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak pada Ogos ini.

Presidennya, Yahaya Sani, berkata, 16 atlet angkat berat Kedah akan mengalas tanggungjawab berkenaan dapat usaha mencapai sasaran yang diletakkan untuk membantu Kontinjen Sukma Kedah.

Menurutnya, lapan atlet lelaki dan lapan perempuan dikenal pasti untuk mengalas tanggungjawab itu dan persiapan rapi sedang dilakukan oleh PABK.

“Persatuan ini mungkin tidak sehebat persatuan sukan negeri lain, tapi azam serta tekad kami adalah untuk melahirkan atlet angkat berat bukan sahaja yang mewakili Kedah di Sukma, tetapi juga mampu melangkah ke peringkat antarabangsa seperti sukan Komanwel di masa depan,” katanya.

Yahaya diumumkan sebagai Presiden baharu PABK pada Mesyuarat Agung 2024-2026 bagi mengantikan Ismasuhaimi Shariff di Menara Alor Setar, di sini pada Ahad.

Beliau berkata lagi, persatuan tersebut, mahu terus mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan angkat berat dari seluruh negeri Kedah ke peringkat negara di masa akan datang.

“Kejayaan seperti Aznil Bidin yang berjaya meraih dua pingat emas di Sukan Komanwel pada tahun 2022 begitu membanggakan buat Kedah dan juga negara.

“Manakala Nur Syazwani Radzi yang menghadiahkan gangsa dalam kategori 64 kilogram (kg) wanita di Sukan Sea 2023 jelas membuktikan negeri Kedah kini mempunyai ramai atlet berbakat dalam sukan angkat berat ini,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com