Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Dua gajah jantan liar lapar cari sumber makanan ditangkap

Dua gajah jantan liar lapar cari sumber makanan ditangkap

oleh Ammar Haziq

SIK – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah berjaya menangkap dua ekor gajah liar di daerah Padang Terap dan Sik pada Selasa.

Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, dua ekor gajah jantan itu ditangkap selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kehadiran gajah itu yang dilihat berkeliaran sekitar kampung berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata, seekor gajah jantan ditangkap di Belantik, Sik dua hari lalu manakala seekor lagi ditangkap di Pedu daerah Padang Terap, pada petang semalam.

“Dua ekor gajah itu dipercayai keluar dari hutan dipercayai kelaparan dan mencari sumber makanan.

“Kita percaya gajah ini datang dari kawasan Ulu Muda dan Pedu kumpulannya dianggarkan mempunyai populasi di kawasan hutan terbabit,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Jamalul Nasir berkata, dua ekor gajah liar itu akan dilepaskan ke dalam hutan simpan di negeri ini untuk kembali ke habitat asalnya.

Sementara itu, pasukan Bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sik terpaksa dipanggil untuk memberi semburan air ke atas dua ekor gajah liar itu berikutan cuaca panas tanpa hujan yang melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya melakukan khidmat khas menyembur air bagi memandikan gajah berkenaan bagi mengelak dehidrasi.

“Operasi penyiraman dilakukan lebih satu jam bermula 1 petang hingga 2.30 petang.

“Dua daripada empat gajah berkenaan adalah gajah liar manakala dua lagi adalah gajah betina (denak),” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com